Thursday, June 29, 2017

Desakan hidup: Anak sulung diambil orang

Sinar Harian 
28/6/17
Desakan hidup: Anak sulung diambil orang
Suasana gelandangan berkeluarga sekitar Jalan Chow Kit.
SECARA tradisi, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan kegembiraan bersama sanak-saudara, namun masih ada yang mendengar takbir raya ketika bersendirian atau bersama keluarga di kaki-kaki lima di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Bukan itu yang mereka mahu, tetapi itu sahajalah pilihan yang mereka ada.

Bagi gelandangan, hari raya seperti tidak raya, tiada baju baharu, ziarah menziarahi, ketupat atau rendang. Ikuti kisah gelandangan berhari raya yang disediakan wartawan, AIMAN RAZALI.

Kisah 1: ‘Anak sulung Za orang ambil’

Hampir empat tahun, Za, ibu muda berusia 24 tahun hidup di kaki lima bangunan Sun Life Malaysia di Jalan Chow Kit.
Kerana desakan hidup memaksa dia, suami dan seorang anaknya berteduh di situ.

Za, bukan nama sebenar menitiskan air mata ketika memikirkan persediaan raya tahun ini.
Baginya, cukuplah anaknya, Danish berpakaian baharu ketika hari raya.

“Abang (suami) tak ada duit nak belikan baju raya untuk kami, bukan Za mengharapkan benda tu, Za cuma harap anak Za berpakaian baru, Za tak ada baju pun tak kisah.” katanya sebak.
Za juga berkongsi kesedihan dan keperitan kehilangan anak sulungnya yang diambil orang.
“Za ada dua anak, anak sulung Za ada orang ambil,” katanya sambil menyapu air mata di pipi.

Dia sangat berharap dapat bertemu dengan anak sulungnya yang telah terpisah tak sampai setahun.
Katanya lagi, tahun ini anaknya yang sulung itu sudah menginjak usia 3 tahun.

“4 Julai ini, dia masuk umur 3 tahun. Za nak anak Za balik, tapi orang yang ambil anak Za cakap kena bayar kalau nak anak Za. Manalah Za ada duit,” katanya.
Ketika Sinar Harian menemu ramah Za, secara tiba-tiba orang ramai di situ meminta untuk membela anak bongsunya.

Mungkin kerana kecomelan dan keaktifan Danish, mereka buat permintaan tersebut, tetapi Za menjawab dengan bersungguh-sungguh enggan memberi anaknya kepada sesiapa.
“Ini nyawa Za. Za tak akan bagi sesiapa dah”, katanya dengan tegas.
Za terpaksa berada di kaki lima itu menunggu dan berharap belas ihsan daripada orang lain menyumbangkan sesuap nasi kepadanya dan anaknya serta suaminya.

Harap Aidilfitri tahun ini meriah

Sejak 2008, Abdul Rahman Abdullah, 59, hidup sebatang kara dan berteduh di kaki lima Kolej Segi di Kuala Lumpur.
Setelah kematian isteri dan anak tunggalnya, dia tidak ada arah tuju dalam kehidupan.

Hidupnya hanyalah untuk mencari sesuap nasi bagi meneruskan saki baki kehidupannya sebagai gelandangan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Kotak, tikar atau surat khabar menjadi alas tidur gelandangan.
Abdul Rahman juga berkongsi rasa, hari raya tetap akan datang tetapi bagi orang seperti mereka tidak rasa suasana raya.
“Hari raya tetap hari raya, tapi gelandangan seperti kami tidak rasa suasana hari raya.
“Memang rasa macam tak raya, tak ada baju baru, tak ada baju cantik, tak ada ziarah menziarahi, tak ada orang pun ambil peduli pada kami ketika raya,” katanya.

Hari raya gelandangan adalah datang daripada ehsan dan belas kasihan orang ramai yang mahu menyumbang kepada mereka.
Kalau tidak ada orang beri bantuan baju raya, maksudnya tidak ada baju raya bagi gelandangan pada tahun itu.

“Alhamdulillah, tahun ini ada orang bagi sepasang baju raya untuk pakcik,” katanya sambil tersenyum.
Abdul Rahman juga sangat berharap pihak yang berkemampuan meraikan semua gelandangan dan miskin bandar untuk diadakan majlis hari raya.

“Kalau boleh, kerajaan atau sesiapa raikan kami untuk rasa kemeriahan hari raya. Kami masak sendiri pun boleh.
“Cuma sediakan tempat dan barang-barang, biar kami sama-sama masak di malam raya,” katanya.

Sementara itu katanya, dia sedih kerana ada menganggap golongan gelandangan sebagai sampah.
“Kami bukan tak nak kerja, tapi majikan tak terima kami, apatah lagi orang berumur macam pakcik, siapa nak terima bekerja?," katanya.
Baginya, umpama tiada penghujung cerita kehidupan seorang gelandangan.

Masih ada mahu bantu

Kesengsaraan gelandangan mendapat perhatian ramai pihak, antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Feeding The Needy (FTN).

Sempena Aidilfitri tahun ini, FTN memberi sumbangan lebih 600 pasang baju raya kepada gelandangan dan miskin bandar di Jalan Chow Kit, serta turut menyediakan khidmat gunting rambut percuma.
Jurucakap FTN, Mimi Liana Nasharuddin berkata, pihaknya pernah menganjurkan takbir raya di sini bersama gelandangan.
“Dua tahun sebelum ini kami pernah buat takbir raya dan solat berjemaah bersama gelandangan.
Kanak-kanak juga mendapat peluang mendapat gaya rambut raya.
“Malah, kami buat kejutan untuk gelandangan yang tak balik kampung raya tahun ini, dengan memberi peluang kepada mereka bercakap melalui telefon dengan sanaksaudara di kampung selama tiga minit,” katanya.
Menurutnya, FTN cuba menyediakan suasana hari raya untuk gelandangan supaya mereka tidak rasa terpinggir.
“Setiap tahun, hampir 60 gelandangan di Kuala Lumpur kami bantu agar mereka dapat kehidupan lebih baik," katanya.

Mimi Liana berkata, FTN bukan sahaja program memberi makan kepada mereka memerlukan, malah turut beri bantuan perubatan, tempat tinggal, kelas memulakan niaga dan mencari serta memberi peluang kerja.

No comments:

Post a Comment