S N Nair berkata, editor Sarawak Report tidak boleh
dipaksa datang ke Malaysia atas perbelanjaan sendiri untuk polis
memulakan siasatan terhadap dakwaan RM9.5 juta dibayar kepada Shafee
Abdullah.
KUALA
LUMPUR: Pegawai polis Malaysia boleh pergi ke Londong untuk mengambil
keterangan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung
dakwaan seorang peguam menerima RM9.5 juta dari akaun bank peribadi
perdana menteri, kata S N Nair.
Peguam itu berkata, Rewcastle-Brown tidak boleh dipaksa datang ke
Malaysia atas perbelanjaan sendiri untuk polis memulakan siasatan.
“Pegawai polis boleh merakam keterangan itu di bawah Seksyen 112
Kanun Prosedur Jenayah di London,” katanya mengulas kenyataan ketua
polis negara tidak boleh menjamin laluan selamat untuk Rewcastle-Brown,
jika beliau memutuskan untuk datang ke Malaysia.
Nair yang juga bekas pegawai polis berkata, dahulu pegawai polis dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pernah pergi ke luar negara untuk
mengambil keterangan saksi.
Beliau memberi contoh polis menemui penyiasat persendirian, P
Balasubramaniam di Bangkok pada Julai 2008 untuk mengambil
keterangannya.
Ketika itu, polis menyiasat Balasubramaniam yang didakwa membuat akuan bersumpah (SD) palsu.
Balasubramaniam – saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya
Shaariibuu membuat SD kontroversi dengan mendakwa ada kaitan antara
wanita Mongolia itu dengan Najib yang merupakan timbalan perdana menteri
ketika itu.
Keesokannya, beliau menarik balik SD itu dan tampil dengan SD ke-2 sebelum beliau dan keluarganya pergi ke India.
Nair berkata, kenyataan Khalid hari ini memberi gambaran polis tidak
berminat meneruskan siasatan terhadap laporan yang dibuat ahli politik
pembangkang, 2 minggu lalu.
“Polis perlu menyiasat sesuatu kes sebaik sahaja laporan dibuat,” katanya.
Nair berkata, Khalid tidak boleh menepis laporan Sarawak Report
mengenai pemindahan wang RM9.5 juta itu sebagai khabar angin, sebaliknya
mereka perlu meneruskan siatasan dengan mengambil kenyataan
Rewcastle-Brown.
Beliau berkata, terpulang kepada peguam negara untuk menentukan hasil siasatan polis.
Rewcastle-Brown dilaporkan berkata, polis Malaysia boleh pergi ke United Kingdom, jika mereka mahu bercakap dengannya.
Nair ingin tahu jika polis sudah mengklasifikasikan kes itu berdasarkan laporan yang dibuat.
Sarawak Report mendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang
mengetuai pendakwaan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,
menerima 2 transaksi wang berjumlah RM9.5 juta daripada akaun bank
peribadi Najib.
Portal itu turut menerbitkan gambar 2 slip bayaran pada September
2013 dan Februari 2014, 2 minggu sebelum Mahkamah Rayuan mengubah
keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar daripada tuduhan
meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Keputusan itu disahkan Mahkamah Persekutuan pada 2015 yang menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar
daripada tuduhan meliwat, menyebabkan kerajaan memfailkan rayuan.
Pada 9 Jun lalu, Shafee ketika ditanya mengenai dakwaan itu
memberitahu FMT: “Saya akan mengeluarkan kenyataan, tetapi bukan hari
ini.”
FMT
No comments:
Post a Comment