Wednesday, July 19, 2017

Apandi digesa kerjasama dengan Perancis dalam kes rasuah Scorpene

 | July 19, 2017
Gerakan anti-rasuah C4 berkata peguam negara mempunyai tanggungjawab di bawah Konvensyen Anti Rasuah PBB yang turut dipersetujui Malaysia.
Cynthia-Gabriel-scorpene-apandi-aliPETALING JAYA: Aktivis Cynthia Gabriel menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menghubungi mahkamah di Perancis serta merta dan memberi kerjasama sepenuhnya selepas pihak berkuasa negara itu mendakwa 2 pegawai syarikat yang terlibat dalam penjualan 2 kapal selam Scorpene bernilai AS$1.1 bilion kepada Malaysia pada 2002.

Cynthia, yang mengetuai Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), berkata kes Scorpene yang berlarutan selama 15 tahun sejak pembeliannya boleh selesai segera sekiranya Putrajaya bekerjasama.

Menurutnya, Apandi perlu mematuhi kewajipan Konvensyen Anti Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut ditanda tangani Malaysia.
“Ia kerjasama antarabangsa di mana kalau ada rasuah rentas sempadan, kedua-dua negara sepatutnya bekerjasama untuk cuba menyelasaikan isu rasuah rentas sempadan itu,” katanya kepada FMT hari ini.

AFP hari ini melaporkan penyiasat Perancis mendakwa 2 pegawai syarikat yang terlibat dalam penjualan 2 kapal selam Scorpene bernilai AS$1.1 bilion kepada Malaysia pada 2002.
Mereka ialah Philippe Japiot, bekas pengerusi syarikat pertahanan milik kerajaan DCNI, dan Jean-Paul Perrier, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales. Mereka disoal siasat Mei lalu atas tuduhan rasuah dan komisen berjuta-juta euro.

Cynthia yang sebelum ini aktif membawa aduan mengenai pembelian itu kepada pihak berkuasa Perancis, berkata Malaysia selama ini menghalang semua penyiasatan membabitkan Scorpene.

“Jadi sekarang ini dengan 2 orang didakwa, tak boleh lari lagi. Kena buat juga,” katanya.
Selain itu, Cynthia turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuka kes mengenai pembelian 2 kapal selam berkenaan sekali lagi.

“Yang ini kita memang ada isu rasuah dan tolong siasat,” katanya.
FMT sudah menghubungi Apandi dan masih menunggu reaksi beliau.
Pembelian kapal selam Scorpene sebelum ini dikaitkan dengan Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat dikaitkan dengan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.
Razak yang dikaitkan dalam pembunuhan kekasihnya Altantuya Shaariibuu pada 2006, dibebaskan daripada pertuduhan itu pada 2008.

Altantuya yang dikatakan menuntut pembayaran atas peranannya sebagai penterjemah dalam proses pembelian itu, dibunuh dengan kejam pada November 2006. Dua pegawai polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan itu.
AFP melaporkan susulan pembelian Scorpene, komisen lebih €114 juta (RM570 juta berdasarkan tukaran semasa) dibayar kepada sebuah syarikat kosong dikaitkan Razak.

‘SPRM perlu siasat’
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin mendesak SPRM dan polis menyiasat pembelian kapal selam Scorpene oleh Kementerian Pertahanan, yang pada 2002 diterajui oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Siasatan dan menghadapkan penjenayah sebenar ke muka pengadilan adalah perlu demi mendapatkan kebenaran dan memberikan keadilan kepada individu-individu seperti Altantuya, 2 anggota PDRM, Sirul Azhar dan Azilah Hadri yang turut terpalit dengan skandal ini.
“Kegagalan SPRM dan PDRM untuk menyiasat dan melakukan tindakan undang-undang yang sewajarnya berkaitan skandal kapal selam Scorpene ini nanti akan mengakibatkan imej dan integriti agensi-agensi ini terus tercalar dan mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan,” katanya
FMT

No comments:

Post a Comment