Malaysiakini 29/7/17
Barisan Nasional (BN) Johor kini menumpukan usaha mempertahankan
kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya umum (PRU) lepas dan merampas
kembali kerusi yang ditawan pembangkang pada PRU14 nanti.
Setiausaha BN Johor Datuk Md Jais Sarday berkata setakat ini pihaknya
berpuas hati dengan komitmen dan gerak kerja yang diberikan oleh
anggota parti komponen demi menjamin kemenangan.
"Tagline kita adalah 'retain' (mengekalkan) dan 'regain' (mendapatkan
kembali). Justeru, kita yakin dapat mengekalkan 21 kerusi Parlimen dan
38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi selain mendapatkan
semula lima kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN yang dimiliki
pembangkang," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen BN Johor
di Johoe Bahru hari ini.
Pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata
jentera gerak kerja BN akan turut berusaha meningkatkan majoriti
pengundi di kesemua 26 kawasan Parlimen dan 56 kerusi DUN di seluruh
negeri ini.
"Kalau kita dapat menggemblengkan lagi gerak kerja ini, kita bukan
sahaja dapat mengekalkan pencapaian BN di Johor tetapi yakin dapat
meningkatkannya pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Seramai 400 perwakilan hadir pada konvensyen sehari berkenaan yang
dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap
Pengerusi BN negeri, antara lain untuk membentangkan pencapaian
pembangunan negeri ini sejak 2013 hingga kini.
- Bernama
No comments:
Post a Comment