Malaysiakini 2/7/17
Bekas menteri Umno, Tan Sri Zainudin Maidin berkata, orang Melayu
hari ini melihat Umno sebagai ancaman dan cabaran kepada mereka
dibandingkan DAP yang semakin matang dalam nilai yang diperlukan untuk
kerjasama politik.
Jelas beliau, parti yang dilabel cauvinis Cina itu semakin progresif,
dinamik, bersih dan cekap yang tidak lagi berasaskan politik perkauman
dan sentimen keagamaan yang sempit.
"Semakin
ramai orang Melayu yang melihat, memahami dan menghayati ancaman kepada
nasionalisme Malaysia tidak lagi datang dari DAP yang mahu meMalaysian
Malaysiakan negara ini tetapi melihat Umno yang mahu menChinakan
Malaysia menerusi penjajahan ekonominya.
"Di samping itu, orang bukan Melayu melihat perubahan dasar
sekularisme dan liberalisme Umno sejak permuafakatan politik dengan PAS
untuk bersama menguasai negara ini.
"Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah atau Akta 355)
menimbulkan prasangka buruk bukan Melayu terhadap matlamat Umno yang
telah dimaktubkan oleh kepimpinan awalnya Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul
Razak, Tun Islam dan lain-lain lagi," kata bekas ketua pengarang Utusan Malaysia itu dalam blognya.
Mengulas lanjut, Zam berkata, Umno sanggup bekerjasama dengan PAS
yang disifatkan parti yang mempermainkan agama yang pernah bersubahat
dengan DAP menjatuhkan kerajaan Melayu Umno.
"(Datuk Seri) Anwar Ibrahim juga cuba melakukan ini tetapi kepimpinan
Umno yang bijak, berintegriti, berpengaruh, kuat, dihormati dan
diyakini rakyat telah dapat mematahkannya.
"Tetapi PAS yang belum pun berada dalam kerajaan berjaya
mempergunakan Umno untuk menggugat kesucian Perlembagaan negara menerusi
Parlimen dengan mengambil kesempatan di atas kelemahan Umno dan pucuk
pimpinannya," tambah beliau.
PAS, katanya, bukanlah parti politik yang bodoh yang tidak menyedari
hakikat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang bergantung
di dahan rapoh.
Para penyokong PAS di Terengganu yang membantah kerjasama dengan Umno
diyakini oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS boleh
mencapai semua hasratnya untuk menegakan negara Islam dengan
bekerjasama dengan Umno, kata beliau.
Orang Melayu, tambah Zam, tidak menolak penanaman modal China kerana
kesesatan dari nasionalisme tetapi kerana kehilangan keyakinan terhadap
nasionalisme Umno yang terpesong dari dasar asalnya dan juga dari
Perlembagaan.
Najib, jelasnya, tidak begitu mengambil berat perasaan ini dan
agresif membawa banyak penanaman modal China atau usaha sama dengan
negara itu di kawasan sensitif yang menjadi isu panas di kalangan
Melayu.
"Melayu mempunyai asas kebimbangan yang lebih besar terhadap
kedatangan Cina dari China kerana mereka ditakuti mudah menyerap dengan
Cina tempatan yang masih kuat dengan kefahaman dan penghayatan
kebudayaan China.
"Orang
Melayu bimbang perkongsian Proton Holding Berhad dengan pembuat kereta
China, Zhejiang Geely Holding Group akan membuka peluang pekerjaan
kepada orang Cina dari China di Proton yang selama ini eksklusif kepada
orang Melayu," ujarnya.
Perkongsian ini mungkin membuka permintaan pasaran lebih besar kepada
Proton yang tidak mungkin dapat dipenuhi dengan tenaga Melayu sahaja
kecuali dengan membawa masuk pekerja dari China, katanya.
Demikianlah juga dalam pembinaan keretapi laju ke Pantai Timur dari
ibu negara yang akan dibiayai oleh firma China dengan kos sebesar RM 55
billion, tambah Zam.
No comments:
Post a Comment