Saturday, August 26, 2017

Fitnah Anwar: PKR gantung keanggotaan Manickavasagam

Fitnah Anwar: PKR gantung keanggotaan Manickavasagam
(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - PKR hari ini telah mengesahkan telah menggantung keanggotaan salah seorang ahlinya, S Manickavasagam kerana membuat kenyataan fitnah berkait pimpinan parti dalam satu ucapan di Kapar pada 8 April lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Manickavasagam yang merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ketua Cabang Kuala Selangor telah digantung keanggotaan PKR selama dua tahun berkuatkuasa mulai hari ini.

"Hari ini Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, telah memaklumkan S Manickavasagam bahawa beliau telah digantung keanggotaan PKR selama dua tahun berkuatkuasa mulai hari ini.
"Ini merupakan keputusan Biro Politik PKR berasaskan laporan Lembaga Disiplin PKR yang mendapati bahawa Manickavasagam telah membuat kenyataan fitnah berkait pimpinan parti dalam satu ucapan di Kapar pada 8 April 2017," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, berdasarkan perlembagaan parti, Manickavasagam mempunyai masa 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada MPP untuk pertimbangan pimpinan.

Manickavasagam digantung keahlian parti dua tahun setelah didapati memfitnah bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima RM300,000 hingga RM400,000 daripada 'OMS' P Thiagarajan bagi tujuan untuk tidak mencalonkan Manickavasagam sebagai calon Parlimen Kapar.
Difahamkan, Manickavasagam turut dilucutkan segala jawatan yang dipegang dalam parti dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

Sementara itu, Manickavasagam menerusi laman Facebooknya mengesahkan telah menerima makluman penggantungannya.
Menurut beliau, surat tersebut diterima menerusi aplikasi media sosial, Whatsapp daripada Ibu Pejabat PKR.
"Baru terima Whatsapp daripada Ibu Pejabat  PKR, saya digantung (keanggotaan selama) dua tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment