Ia dilaporkan sebuah portal Indonesia 6 tahun lalu, ketika Palembang dipilih menjadi tuan rumah SEA Games ke-26.
PETALING JAYA: Di saat pelbagai pihak di Indonesia masih marah
terhadap kesilapan Malaysia mencetak bendera republik itu terbalik dalam
buku cenderahati rasmi Sukan SEA ke-29, kesilapan sama pernah dilakukan
tuan rumah Indonesia ketika menganjurkan sukan itu 6 tahun lalu.
Kesilapan itu dilakukan menjelang Sukan SEA ke-26 di Palembang,
menurut sebuah laman web Indonesia yang melaporkan perkara itu beberapa
bulan sebelum acara itu.
Kompasiana.com melaporkan kesilapan itu melibatkan sekurang-kurangnya 5 bendera negara Asean termasuk Malaysia.
Antaranya ialah bendera negara dipasang terbalik selama lebih 2 bulan
di pelbagai lokasi di Palembang termasuk berhampiran bank, restoran,
hospital, universiti dan hotel.
Jalur Gemilang pula dipasang terbalik di Gedung Asuransi, Jalan
Jendral Sudirman dengan lambang bulan sabit dan bintang berada di
bahagian bawah.
Di lokasi sama, bendera Myanmar disalah cetak apabila kombinasi biru
merah dikibarkan, sedangkan ia tidak digunakan lagi sejak 21 Oktober
2010.
Bendera Myanmar ketika itu sudah pun menggunakan kombinasi kuning, hijau dan merah dengan lambang bintang 5 bucu berwarna putih.
Bendera Vietnam turut menjadi mangsa, dipasang terbalik di depan
Hospital Muhammadiyah Plaju. Bendera dengan lambang bintang 5 bucu
seharusnya dikibar dengan bucu tunggal di bahagian atas tetapi ia
diterbalikkan ke bawah.
Bendera Filipina pula dipasang terbalik apabila bahagian biru yang sepatutnya berada di bahagian atas diterbalikkan ke bawah.
Bendera Timur Leste pula dikibar dengan lambang bintang 5 bucu yang
sepatutnya berdekatan tiang, tetapi berubah kedudukan ke depan.
Menurut laporan itu, 5 daripada 11 bendera negara peserta termasuk
Malaysia dikibarkan terbalik dan bendera Thailand terkoyak di depan
sebuah institusi pendidikan swasta.
Hanya 5 negara Asean terselamat “terselamat” daripada kecuaian, iaitu
negara tuan rumah Indonesia, Singapura, Loas, Brunei dan Kemboja.
Malaysia memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Indonesia selepas
pendedahan kesilapan pada bendera Indonesia dalam buku cenderahati SEA
Games 2017.
Susulan itu, pelbagai kumpulan dan pemimpin politik menggesa tindakan lebih keras terhadap Malaysia.
Sejak kesilapan itu dilaporkan, media sosial milik rakyat Indonesia
menyasarkan Jalur Gemilang dengan memaparkannya secara terbalik.
FMT 23/8/17
No comments:
Post a Comment