Sunday, August 27, 2017

Khairy: ‘Sukan SEA lebih penting banding mana-mana individu’

 | August 26, 2017
Menjawab pandangan dilontarkan Mariam Mokhtar dalam ruangan komen FMT hari ini, Khairy berkata, penganjuran Sukan SEA adalah tentang kehadiran bersama untuk mempamerkan apa yang negara ada di peringkat serantau.
Khairy-sukan-seaPETALING JAYA: Di sebalik kritikan pihak tertentu kononnya Khairy Jamaluddin menggunakan Sukan SEA 2017 untuk tujuan politik peribadi beliau, menteri belia dan sukan itu menegaskan, penganjuran sukan seperti itu adalah lebih penting daripada mana-mana individu.

Menjawab pandangan dilontarkan Mariam Mokhtar dalam ruangan komen FMT hari ini, Khairy berkata, penganjuran Sukan SEA adalah tentang kehadiran bersama semua pihak untuk mempamerkan apa yang negara ada di peringkat serantau.

Ini adalah Sukan SEA pertama diterajui Khairy selaku menteri belia dan sukan.
“Apa jua acara sukan yang pelbagai sudah pasti ada isu. Apa yang penting ialah bagaimana anda menguruskannya.

“Saya bangga untuk mengatakan yang kami telah memberi respons kepada kebanyakan isu dengan segera dan tegas.”
Dalam pandangannya, Mariam berkata, Khairy seharusnya memilih antara tugas sebagai seorang menteri atau pemain polo.

Katanya, Khairy mungkin berasa gembira apabila kemunculan beliau diterima ramai selain mendapat fokus lansa kamera yang menarik.
“(Tetapi) adakah beliau berfikir tentang PRU14 dan bagaimana kehebatannya sebagai pemain polo akan meningkatkan popularitinya sebagai seorang ahli politik?

“Tanggungjawab beliau sebagai menteri adalah untuk mempromosikan sukan dan kerja berpasukan. Beliau tidak boleh menggunakan kementerian (belia dan sukan) untuk mempromosi cita-cita politiknya,” tulis Mariam.
Malah kata Mariam, Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-29 dan “peranan utama menteri itu adalah untuk memastikan pengurusan sukan yang penting seperti ini.”

Khairy yang juga pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Malaysia berhadapan dengan ujian pertama apabila bendera Indonesia dalam buku cenderamata dicetak terbalik. Buku itu diedarkan semasa majlis perasmian pada 19 Ogos lalu.
Baru-baru ini, Khairy menjadi tumpuan susulan teguran Tuanku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Sultan Johor berhubung skuad polo Sukan SEA yang turut disertai Khairy.

Sultan Ibrahim bertitah pasukan yang bertanding untuk sukan polo di temasya Sukan SEA ibarat “hanya untuk cukupkan syarat pertandingan sahaja.”
“Ada yang datang dengan handicap rendah, jadi memanglah mudah untuk dikalahkan. Kalau jantan, mari kita main dan tunjukkan taring masing-masing di Johor.”

Semalam Khairy menghadap Sultan Johor dan TMJ di Johor Bharu.
Mengulas lanjut tulisan Mariam, Khairu berkata, kejayaan penganjuran Sukan SEA atau KL2017 diakui di semua peringkat di mana bekas menteri sukan Indonesia memaklumkan yang Sukan SEA di Malaysia kali ini adalah terbaik yang pernah beliau alami.

“Banyak atlet dan pegawai berkongsi sentimen itu,” kata beliau.
Di peringkat tempatan, katanya, Sukan SEA telah meningkatkan nama negara dan ia dirasai di kebanyakan peringkat.
“Ia telah membawa orang ramai. Ia telah memberi inspirasi kepada orang ramai. Ia telah menetapkan tahap kejayaan sukan yang lebih tinggi.”

Khairy yang turut menggariskan beberapa pembaharuan dan kelainan diperkenalkan kali ini termasuk dianggap sebagai “sukan hijau” berkata, pihaknya melakukan kesemua itu pada separuh kos berbanding Sukan SEA Singapura 2 tahun lalu.

“Dan, itu bukan untuk bercakap tentang bagaimana kami lakukan di sukan itu sendiri. Malaysia kini mendahului, dengan 68 pingat emas (setakat pagi tadi). Kami masih mempunyai 5 hari untuk pergi,” kata beliau yang menyasarkan pingat emas sebanyak 111, sekali gus muncul juara kali ini.

Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional ini menambah, Sukan SEA kali dianjurkan dengan tema “Bangkit Bersama” dengan harapan agar sebuah rantau dan sebuah negara berkumpul dalam semangat persahabatan dan kesukanan.
“Saya ingin menjemput Mariam untuk Bangkit Bersama di atas kebebasan politik demi kepentingan bangsa dan melihat sendiri bagaimana sukan menyatukan”

No comments:

Post a Comment