Tuesday, August 8, 2017

SPRM: Kes rasuah Guan Eng, Phang tak terjejas

8/8/17

Penghakiman Mahkamah Rayuan semalam yang mengisytiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai melanggar perlembagaan tidak menjejaskan pendakwaan mereka terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, serta ahli perniagaan Phang Li Koon.

Pada masa sama SPRM menjelaskan mereka akan segera mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
"SPRM ingin menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak menjejaskan pendakwaan terhadap Lim dan Phang sebelum ini," kata kenyataan itu hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang sebulat suara mengisytiharkan peruntukan Akta SPRM 2009 yang menghendaki seseorang tertuduh memfailkan pembelaannya sebelum perbicaraan sebagai tidak sah dan terbatal.

Keputusan berkenaan dibuat terhadap rayuan Lim dan Phang yang memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 62 akta itu bercanggah dengan Fasal 5 (1) dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Umi Kalthum Abdul Majid mengetuai panel tiga hakim berkenaan.
Lim dibicarakan atas tuduhan menerima suapan daripada Phang namun setiausaha agung DAP itu mendakwa dirinya menjadi mangsa konspirasi politik.
Kata SPRM agensi antirasuah itu tetap akur dengan sebarang keputusan yang dibuat mahkamah.

"SPRM akan terus mengendalikan kes ini mengikut prosedur undang-undang secara telus dan profesional," katanya.

No comments:

Post a Comment