Ahmad Atory Hussain berkata banyak perhatian tertumpu
kepada kesan pertandingan pelbagai penjuru kepada PH, terlepas pandang
perkara yang paling nyata.
PETALING
JAYA: Keengganan PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan tidak akan
menjejaskan peluang gabungan pembangkang pada pilihan raya nanti, kata
seorang penganalisis politik.
Ahmad Atory Hussain berkata ketika perhatian pemerhati politik
tertumpu kepada kesan pertandingan pelbagai penjuru kepada PH, mereka
terlepas pandang perkara paling nyata.
Beliau berkata walaupun undi pembangkang akan terpecah dalam
pertandingan tiga penjuru, pilihan raya umum akan datang juga bakal
menyaksikan sokongan kepada Umno dan PAS berpecah.
“Sokongan kepada PAS dan Umno sudah pun terpecah dengan pembentukan parti serpihan Amanah dan PPBM,” katanya kepada FMT.
Kesimpulannya, pada hari pengundian nanti, sama ada diadakan tahun
ini atau tahun depan, penyokong yang menjadi tempat PAS dan Umno
bergantung pada pilihan raya umum 2013 akan lebih kecil.
Malah, ada juga yang akan meninggalkan mereka untuk bersama dengan
pemimpin Amanah dan PPBM yang diundi mereka sebelum ini, kata Atory.
“Di atas kertas memang nampak seperti pertandingan pelbagai penjuru menentang BN akan menyukarkan peluang PH untuk menang.
“Namun tidak mustahil kerana pengundi PAS akan berpecah dua dan begitu juga dengan Umno.
“Kalau ia seperti plihan raya lepas, di mana PPBM dan Amanah tidak
wujud, pertandingan 3 penjuru akan menyaksikan DAP dan PKR melawan PAS
dan Umno.”
Bagaimanapun, Atory mengakui masih banyak yang perlu dilakukan PH
untuk menjamin kemenangan pada pilihan raya umum akan datang kerana PAS
menyukarkan keadaan untuk gabungan itu.
Ditanya apakah yang boleh dilakukan oleh gabungan yang dipimpin bekas
presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meningkatkan peluang mereka
pada pilihan raya nanti, Atory berkata antara langkah boleh diambil
ialah mengumumkan calon menteri besar mereka untuk setiap negeri.
“Beritahu pengundi siapakah orangnya yang kamu tawarkan sebagai
pemimpin mereka – iaitu mereka akan ada seorang pemimpin yang baik dan
boleh diterima.”
“PH juga mesti pastikan manifesto pilihan raya gabungan itu sampai kepada pengundi dan mudah difahami,” katnya.
Majlis presiden PH malam tadi membuat keputusan tegas untuk tidak bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas bermesyuarat selama 3 jam,
pemimpin PH berkata gabungan itu akan menyediakan strategi untuk
menghadapi pertandingan 3 penjuru.
Mesyuarat itu menyusuli laporan mengatakan beberapa pemimpin PKR
terbabit dalam rundingan dengan PAS mengenai pengagihan kerusi di
Selangor pada PRU14.
Pada Sabtu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata
rundingan dengan pemimpin PAS bukan dibuat atas kapasiti perbadi tetapi
keputusan parti.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution bagaimanapun menafikan
parti pernah membuat keputusan seperti yang disebutkan Azmin itu.
Azmin juga berkata rundingan itu bagi mengelakkan pertandingan 3
penjuru di Selangor dan meningkatkan peluang kemenangan PKR dan parti
pembangkang lain.
Langkah itu bagaimanapun tidak dipersetujui sesetengah pemimpin
parti, termasuk Ahli Parlimen Selayang William Leong, yang mengumumkan
meletak jawatan dari biro politik PKR baru-baru ini.
FMT
Alhamdulillah, keputusan majlis PH utk tidak bekerjasama dgn PAS/GS utk PRU14 akan memudahkan golongan pengundi di kalangan melayu islam membuat keputusan utk memilih PAS/GS bagi kawasan2 PAS/GS bertanding.
ReplyDeleteManakala bagi kawasan2 PAS/GS tidak bertanding pula, mereka boleh memilih samada UMNO/BN atau PPBM/PH ataupun memilih utk boikot terus.. tak perlu pening kepala lagi.. sebelum ini jika nak boikot DAP/PR mereka jadi serba salah kerana PAS berada dalam PR.. boikot DAP/PR bermakna boikot PAS/PR; ini yg mereka mahu jauhkan serta elakkan sama sekali.. kini dengan senang hati mereka boleh boikot UMNO/BN dan DAP/PH sekaligus..!