Saturday, August 5, 2017

Zahid beri petunjuk PRU-14 tahun ini, kata Kit Siang

 | August 5, 2017
Pemimpin DAP itu mendakwa TPM dalam ucapan malam tadi mengatakan beliau akan kembali dalam 6 bulan ini bersama hadiah jika Umno kawasan berjaya kekalkan Parlimen Merbok dan DUN Tanjung Dawai serta rampas DUN Bukit Selambau.
lim-kit-siang_Zahid-Hamidi_600
PETALING JAYA: Ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi di Mesyuarat Perwakilan Umno Merbok, Kedah malam tadi memberikan petunjuk pilihan raya umum ke-14 akan diadakan tahun ini, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu mendakwa Zahid dalam ucapannya mengatakan beliau akan kembali ke Merbok bersama “hadiah” dalam masa 6 bulan jika Umno kawasan berjaya mengekalkan Parlimen Merbok dan DUN Tanjung Dawai sebagai kerusi Barisan Nasional, dan merampas kembali DUN Bukit Selambau dari pembangkang.

“Ini bermakna Pilihan Raya Umum Ke-14 akan berakhir dalam masa 6 bulan, menunjukkan pilihan raya mungkin akan diadakan tahun ini dan bukan tahun depan,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

PRU-14 perlu dipanggil selewat-lewatnya pertengahan tahun depan. Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, PPBM, DAP dan Amanah dilaporkan mahu mendaftarkan gabungan itu secara rasmi, bersama dengan logo dan kepimpinan bersama yang diumumkan Julai lalu.

Lim yakin Zahid, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno lain bimbang dengan pengumuman PH itu, kerana ia “menggambarkan perubahan politik besar” di negara ini yang akan menghasilkan “tsunami politik di kawasan bandar…dan dalam kalangan pengundi Melayu di luar bandar”.

Menurut Lim, perdamaian antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim serta gabungan 4 parti PH akan mewujudkan keadaan yang memungkinkan kekalahan BN nanti.

“Tidak syak lagi pemimpin Ummo keresahan kerana buat pertama kali dalam sejarah Umno, parti itu berdepan 3 kekalahan besar secara serentak, iaitu kehilangan sokongan majoriti pengundi Melayu, kehilangan sokongan majoriti 1.6 juta penjawat awam dan kehilangan sokongan peratusan tertinggi ahli Umno (3.5 juta ahli).”

No comments:

Post a Comment