Menteri sumber manusia itu tersenyum kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada penyiasat SPRM.
VIDEO INSIDE
PUTRAJAYA:
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot meluangkan masa 10 jam
memberi keterangan kepada penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), dalam siasatan agensi itu ke atas dakwaan penyelewengan
peruntukan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Beliau yang tiba di ibu pejabat SPRM Putrajaya 10.00 pagi dilihat meninggalkan perkarangan agensi itu tepat 8.00 malam tadi.
Menteri itu tersenyum melihat pemberita, yang menunggu perkembangan
terbaharu kes itu, selepas seorang setiausaha politik menteri Kabinet
direman 6 hari bermula semalam.
“Saya hanya datang bagi membantu SPRM lakukan siasatan,” kata Richard
kepada pemberita. Beliau menambah tiada dokumen diserahkan kepada
penyiasat semasa memberi keterangan.
Pada 13 September lepas, SPRM menahan 4 individu kerana disyaki
menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang patut
disalurkan ke PTPK bagi tujuan program latihan.
Seorang ketua eksekutif bergelar “Datuk” dan berusia 58 tahun ditahan
agensi anti-rasuah itu, bersama seorang setiausaha perbadanan berusia
34 tahun, seorang penolong pegawai kewangan berusia 32 tahun dan seorang
pengarah syarikat berusia 38 tahun. Mereka direman 6 hari bermula 14
September dan sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Dua hari lalu, SPRM menahan seorang setiausaha politik menteri Kabinet, berusia 61 tahun, untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata
setakat ini 6 individu sudah diambil keterangan berhubung isu terbabit.
Dzulkifli berkata lebih ramai individu akan dipanggil termasuk pegawai kementerian. FMT
No comments:
Post a Comment