Penulis berkata pembebasannya 'dipermudahkan' oleh
perhubungan antara bekas presiden Turki Abdullah Gul dan kerabat diraja
Malaysia.

PETALING JAYA: Penulis terkemuka Mustafa Akyol berkata beliau
dibebaskan dari tahanan pihak berkuasa Malaysia kerana campurtangan
bekas presiden Turki Abdullah Gul yang menghubungi kerabat diraja
Malaysia mengenai perkara itu.
Dalam kolum di New York Times semasa dalam perjalanan dari Kuala
Lumpur untuk pulang ke Massachusetts, Amerika Syarikat, Akyol
menceritakan kronologi pengalamannya, termasuk tangkapan dan penahanan
semalaman kerana “mengajar agama Islam tanpa tauliah”.
“Akhirnya, saya terkejut, saya dibebaskan.
“Tidak lama kemudian saya dapat tahu pembebasan itu dipermudahkan
oleh usaha diplomatik negara asalnya, Turki – terutamanya perhubungan
antara bekas presiden Turki, Abdullah Gul, dengan kerabat diraja
Malaysia,” katanya.
Kehadirannya ke Malaysia buat ke-5 kali ini, mendapat bantahan
beberapa kumpulan Islam konservatif dan pihak berkuasa agama yang
mendakwa beliau mengajar agama tanpa tauliah.
Akyol sebelum ini diberikan surat arahan untuk hadir ke pejabat Jawi
di Kuala Lumpur, atas tuduhan “mengajar agama tanpa tauliah”, sebelum
penganjur ditekan membatalkan sebuah forum yang turut menampilkan Akyol.
Jawi berkata, Akyol ditahan berdasarkan satu “aduan daripada orang
ramai” berhubung ceramahnya dalam perbincangan meja bulat bertajuk “Does
freedom of conscience open the floodgate to apostasy?” di Kelab Golf
Diraja Selangor, Kuala Lumpur.
Akyol dalam kolum itu melaporkan beliau dilayan dengan baik sepanjang
penahanan dan soal siasat tetapi kejadian itu bukti Islam hari ini
mengalami “masalah besar”: “semangat untuk mengenakan agama, bukan
sekadar mencadangkannya, iaitu pemikiran yang ditinggalkan ramai
Kristian selepas Inquisition”.
Mengenang kembali sesi bersama Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (Jawi), Akyol berkata seorang pegawai wanita di mahkamah
syariah “dengan bangga” memberitahu “semua tindakan ini bagi melindungi
agama”.
“Tetapi saya ada pesanan penting buat beliau (yang tidak saya
kongsikan pada ketika itu): Apabila kamu mengawasi agama, pihak berkuasa
sebenarnya tidak melindungi agama. Mereka hanya melemahkan masyarakat,
membesarkan hipokrit dan menyebabkan orang ramai tidak percaya atau
tidak menghormati Islam,” tulisnya
No comments:
Post a Comment