Sunday, September 24, 2017

Rohingya: Kenapa Bangladesh enggan AS masuk campur?

Sheikh Hasina
Sheikh Hasina. - Foto Reuters
BANGLADESH tidak akan meminta pertolongan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung kemelut yang melanda etnik Rohingya.
Ini kerana menurut Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, Trump mempunyai pendirian tertentu berhubung etnik tersebut dan ia tidak akan boleh diubah oleh mana-mana pihak.

“Saya ada berbual dengan beliau (Trump) baru-baru ini. Beliau bertanyakan keadaan negara (Bangladesh) dan saya membalas semuanya berjalan dengan baik.
“Satu-satunya masalah yang kami hadapi sekarang adalah masalah pelarian daripada Myanmar. Trump bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas berkenaannya,” kata Hasina menerusi temu bual bersama sebuah portal antarabangsa, baru-baru ini.

Menurut Hasina, pendirian Trump sudah terang serta jelas, yang beliau sendiri tidak mengiktiraf pelarian atau pendatang di negara di bawah pimpinannya.
“Jadi saya rasa tidak berbaloi  dan tidak ada gunanya saya meminta bantuan daripada Amerika Syarikat untuk mengatasi masalah Rohingya.

Lebih kurang sejuta etnik Rohingya dikatakan menetap di Rakhine sebelum keganasan tentera Myanmar dimulakan terhadap mereka.
Kira-kira 70,000 etnik Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh bagi tempoh enam bulan lalu.

“Bangladesh mungkin bukan sebuah negara yang kaya raya. Namun sekiranya kami boleh memberi makan kepada 160juta rakyat kami, tidak mustahil kami boleh menanggung pertambahan sebanyak 500,000 atau 700,000 lagi.
“AS sudah menyatakan pendirian mereka. Jadi apa yang boleh saya harapkan daripada mereka lagi? Buat apa saya tanya (minta bantuan)?” jelasnya lagi.
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment