Sunday, September 24, 2017

Satukan rakyat Sabah sebelum bicara soal pakatan, kata Warisan

 FMT| September 23, 2017
Presiden Shafie Apdal berkata kerajaan Sabah tidak wajib mengikut kehendak dan kemahuan parti politik dari Malaysia Barat.
Shafie-Apdal-bendera-sabah2
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak terlalu khuatir sama ada parti pembangkang di negeri itu akan membentuk satu pakatan untuk menewaskan kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden Datuk Seri Shafie Apdal berkata daripada memilih parti pesaing mana untuk bekerjasama, partinya lebih berminat menyatukan rakyat Sabah.

“Ada pertimbangan gandingan parti-parti. Kita tidak mahu parti bersatu tapi rakyat berpecah. Kita mahukan rakyat bersatu. Tidak perlu parti bersatu. Tidak ada ertinya parti bersatu tapi rakyatnya tidak berpadu. Kalau rakyat berpadu, jangan bimbang tentang banyak parti sangat,” katanya di satu majlis parti di Membakut hari ini.

Bekas menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata salah seorang ahli Warisan, Crispin Kitingan ialah adik kepada pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata Crispin sertai Warisan walaupun kedua abangnya presiden parti lain kerana memikirkan nasib generasi akan datang.
Jika semua rakyat Sabah berfikiran seperti Crispin, beliau percaya Warisan boleh mengambil alih kerajaan Sabah dengan majoriti yang kuat pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Semporna itu menekankan kepentingan mendirikan sebuah kerajaan negeri yang kuat kerana beliau tidak mahu Sabah terlalu bergantung kepada Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment