Saturday, September 23, 2017

Tiada rundingan, Nurul Izzah kata pendirian HARAPAN jelas


Malaysiakini 23/9/17
Sudah hampir sebulan sejak majlis kepimpinan Pakatan Harapan memutuskan bahawa gabungan parti pembangkang itu tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum akan datang, yang mesti diadakan pada pertengahan tahun depan.

Bagaimanapun, isu PKR yang mahu bekerjasama dengan PAS masih belum selesai dengan sesetengah pihak dalam parti itu mempercayai bahawa ia masih perlu diteruskan.
Tetapi bagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, pendirian parti itu seperti yang dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah jelas - berpegang kepada pendirian HARAPAN.

"Beliau (Wan Azizah) telah menyatakan dengan jelas pada hari di mana HARAPAN berikrar tidak akan ada lagi rundingan dengan PAS dan kami akan bergerak (tanpa PAS)," kata Nurul Izzah dalam satu temubual dengan Malaysiakini pada hari Khamis.

Nurul Izzah, bagaimanapun, menyatakan bahawa hubungan tidak boleh diputuskan sepenuhnya. Beliau berkata keterlibatan sosial, seperti melawat pemimpin yang sakit, boleh diterima.

"Jika (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Abdul Razak tidak sihat, saya akan mengunjungi beliau. Adakah ia bermaksud saya ada pakatan pilihan raya dengan beliau?" kata Nurul Izzah sambil menegaskan bahawa beliau tetap terikat dengan (pendirian) HARAPAN.



Sebelum ini, Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang mengunjungi presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hospital, telah mencetuskan spekulasi PKR mengadakan perbincangan rasmi dengan PAS.

Isu PKR dan PAS mengusahakan satu kerjasama pilihan raya telah mewujudkan pergeseran dalam parti itu. Sebagai contoh, di Kelantan, ahli PKR yang menolak kerjasama dengan PAS, menuntut pemecatan pemimpin di peringkat negeri itu yang menyokong rundingan tersebut.
Usaha mengadakan kerjasama dengan PAS itu tertumpu terutamanya untuk mengelak pertembungan tiga penjuru, yang akhirnya boleh menguntungkan BN dalam pilihan raya yang akan datang.

Nurul Izzah mengakui bahawa memenangi pertandingan tiga penjuru merupakan satu cabaran, tetapi berpendapat bahawa ia tidak mustahil.
Bagaimanapun, walaupun menegaskan bahawa tiada rundingan dengan PAS, Nurul Izzah tidak menolak kemungkinan mengenai pakatan pasca pilihan raya.



"Boleh jadi ada pakatan selepas pilihan raya... itulah yang berlaku pada tahun 2008," katanya, merujuk kepada kewujudan Pakatan Rakyat - yang kini telah berkubur - antara PKR, DAP dan PAS.

Namun, beliau menegaskan bahawa PKR dan HARAPAN tidak seharusnya cepat mengutuk atau mengecam pemimpin PAS. Beliau berkata sebaliknya usaha-usaha perlu dibuat untuk memahami mengapa ada pemimpin PAS "berkeras" ke arah pertandingan tiga penjuru.

Nurul Izzah juga meminta penglibatan secara langsung dengan ahli PAS, yang menurutnya, telah menjadi rakan PKR sejak tahun 1998.
"Kita perlu membuat perbezaan itu - mereka bukan pemimpin, mereka bukan golongan elit, mereka adalah orang yang benar-benar peduli mengenai negara ini," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Di bawah adalah petikan temubual eksklusif dengan Malaysiakini dengan Nurul Izzah yang menghuraikan tentang peluang HARAPAN dalam pertarungan tiga penjuru, dan pengalamannya sebagai pengarah pilihan raya PKR.

1 comment:

  1. nurul izzah ulangi pendirian PH.

    amaran kpd azmin dan geng jgn terhegeh2 terus main api. kamu bersama rakyat atau tdk?, turun padang atau tdk?,

    sentimen rakyat menolak kerajaan kleptokrat makin hangat dan "unstoppable & no turning back" dr bandar ke kampung ke felda ke sabah dan sarawak..

    amaran kpd pas pusat. pemimpin2 pas pertengahan hingga ke bawah serta penyokong2 'are the silent majority' dipercayai akan hijrah ke PH diwaktu dkt pru14 nanti. Jika pemimpin tertinggi mrk tdk bertaubat lawan kerajaan kleptokrat perosak negara melayu dan agama..

    Ingat tak masa bersih pas pusat larang ahli dan penyokong ikut demonstrasi jalan. Dtg Ocktober 14hb 2017 nanti... setiap pemimpin dan penyokong pas perlu sendiri ambil pendirian... pas hadi dah tak berwibawa... hilang haluan... hilang nilai... nak ke kamu biarkan aje...

    sama ada kamu bersama pas hadi ataupun pas tgna... sama ada kamu mahu bersekongkol dgn umnobn naik kadar gst atau PH batal gst... sama ada kamu mahu kawal dan turunkan harga barangan atau tdk... dll...,,

    ReplyDelete