Tuesday, September 19, 2017

Tiada sekelumit kebenaran, kata Tian

 Malaysiakini 19/9/17
 
Naib Presiden PKR, Tian Chua menafikan spekulasi mengenai kemungkinan beberapa ADUN di Selangor yang membabitkan partinya itu akan berpaling tadah.

Menulis di Twitter, hari ini, Ahli Parlimen Batu itu berkata, tindakan berkenaan sebagai sebahagian daripada "propaganda jahat" BN untuk menjejaskan imej kerajaan negeri.

"Semua cakap-cakap mengenai cubaan rampasan kuasa dan kononnya ada ADUN dari PKR dan PAS yang akan berpaling tadah adalah sememangnya fantasi dan tidak masuk akal.
 "Kerajaan Selangor yang diketuai oleh PKR adalah stabil dan mendapat mandat penuh daripada rakyat, percubaan oleh BN itu akan gagal," katanya.

Menurut pemimpin PKR itu, spekulasi berkenaan disebarkan untuk menutup kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada hujung minggu lalu yang knonnya mahu membuat ‘kejutan’.

Walaupun Tian mempersalahkan BN berhubung spekulasi tersebut dan mengkritik media kerana melaporkan perkara itu, hakikatnya rakan Pemuda PKR (AMK) dalam Pakatan Harapan adalah antara mereka yang membangkitkan isu berkenaan.

Semalam, Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata adalah naif untuk mempercayai bahawa Najib mengadakan persidangan akhbar mengejut itu semata-mata untuk hanya mengumumkan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib kembali ke pangkuan Umno.
Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya percaya bahawa sidang media Ahad lalu adalah episod tertangguh sebuah cubaan kudeta, seperti yang diusahakan di Perak sebelum ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, persoalan yang lebih penting adalah siapakah watak-watak yang berusaha membawa kumpulan wakil rakyat itu untuk bersama dengan Najib.

Ketika tersebar berita bahawa Najib dijadualkan mengadakan sebuah persidangan akhbar mengejut, spekulasi bertiup kencang sama ada perdana menteri akan mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat atau kemungkinan beberapa pucuk pimpinan tertinggi dari pihak pembangkang akan menyertai Umno.
 Bagaimanapun, apabila pengumuman itu hanya berkaitan kepulangan Muhammad ke pangkuan Umno, perdana menteri menjadi sasaran ejekan.
Pengkritik mendakwa bekas menteri besar tersebut kini tidak lagi bertaring dan bahawa kepulangannya ke Umno tidak mewajarkan sambutan besar-besaran seumpama itu.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, portal The Malaysian Insight mendakwa bahawa Muhammad sepatutnya membawa bersama lapan ADUN Selangor dengannya untuk mencetuskan tumbangnya kerajaan negeri Selangor.
 Walau bagaimanapun, ini gagal menjadi kenyataan.
Pengarah strategi PKR Sim Tze Sin menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai "dongeng".
Berikutan spekulasi ada wakil rakyat akan berpaling tadah, ADUN PAS dan PKR menafikannya dan berikrar akan menghormati mandat yang diberikan rakyat semasa pilihan raya umum 2013.

Semalam, Kelab Penyokong Selangor turut melafazkan ikrar sokongan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

No comments:

Post a Comment