Seorang lelaki berusia 24 tahun yang ditahan polis di
Genting Highlands pada jam 1.30 tengah hari Isnin, mengaku dirinya adik
kepada 'Datuk Seri' itu.
PETALING
JAYA: Polis menahan adik kepada lelaki bergelar “Datuk Seri” bagi
memaksa suspek menyerah diri selepas dia didakwa memukul 3 anggota
Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di sebuah tokong di Jalan Ampang,
Jumaat lalu.
China Press melaporkan beberapa anggota Bahagian D8 (Operasi Khas)
dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor bersama anggota Bahagian D7
(Kongsi Gelap, Judi & Maksiat) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang
Jaya yang bertindak berdasarkan maklumat risikan, menahan seorang lelaki
berusia 24 tahun di Genting Highlands pada jam 1.30 tengah hari Isnin.
Mereka kemudiannya membawa lelaki itu ke IPD Ampang Jaya untuk disoal
siasat dan dia mengaku ialah adik kepada “Datuk Seri” itu, tetapi tidak
terbabit dalam kes memukul 3 anggota Rela terbabit.
Susulan itu, polis melalui lelaki itu berjaya menghubungi suspek yang berjanji akan menyerah diri di IPD Ampang Jaya.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat
memberitahu FMT suspek berusia 29 tahun itu menyerah diri di IPD Ampang
Jaya kira-kira 4 petang semalam.
Beliau berkata, polis akan memohon perintah reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 (menghalang tugas penjawat
awam) dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan).
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Jumaat lalu, Melvin Cheong Mun
Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, cedera di kepala,
mata serta perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang suspek bergelar
“Datuk Seri” itu.
Kejadian dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki terbabit
mengalihkan Toyota Vellfire miliknya yang mengganggu lalu lintas, namun
dia enggan berbuat demikian.
Semalam, Ketua Rela Daerah Ampang, Ho Hoong Keong dipetik China Press
sebagai berkata, sejak kelmarin hingga semalam, beliau dihubungi 4
lelaki yang menawarkan masing-masing RM10,000 kepada beliau serta 3
anggota Rela dipukul itu untuk menarik balik laporan polis dibuat
mereka.
Ho bersama 3 mangsa itu berikrar tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa jahat atau menerima wang ditawarkan mereka.
No comments:
Post a Comment