Malaysiakini 31/10/17
Seorang wanita yang tular di laman sosial berhubung kejadian memarahi
anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sambil
mengacukan ‘pengunci stering’, hari ini dihukum penjara dua minggu
kerana menghina mahkamah dengan cara menjerit dan mengingkari arahan
Majistret.
Majistret Nurulhuda Zakariya menjatuhi hukuman itu terhadap Liew Yoke
Peng, 43, seorang akauntan, setelah dia didapati bersalah menghina
mahkamah dengan menjerit dan mengingkari arahan Nurulhuda supaya senyap
ketika prosiding mahkamah sedang berlangsung.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Dia kemudiannya dibawa ke Penjara Kajang.
Dia melakukan kesalahan itu di dalam bilik bicara Mahkamah Majistret
2, Petaling Jaya pada 11.35 pagi, hari ini mengikut Perkara 26 Jadual
Ketiga (Seksyen 99A) Akta Mahkamah Rendah 1947 yang membawa hukuman
denda maksimum RM150 atau penjara maksimum tiga minggu.
Kesalahan itu lakukan semasa prosiding kesnya berhubung kejadian
memarahi seorang penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di
sebuah kawasan parkir di Bandar Puteri Puchong.
Polis wanita luka digigit
Semasa prosiding itu, Liew telah meninggikan suaranya terhadap
Nurulhuda dan seolah-olah berlawan cakap dengannya sehingga dia terpaksa
ditenangkan oleh anggota polis.
Berang dengan tindakan polis itu, wanita berkenaan bertindak
menggigit tangan seorang anggota polis wanita sehingga luka dan tercabut
butang pakaian seragamnya di bahagian lengan.
Mahkamah kemudiannya terpaksa menangguhkan prosiding kesnya ke sesi petang kerana wanita itu tidak dapat dikawal.
Sebelum menjatuhi hukuman, Nurulhuda menasihati tertuduh supaya bersikap profesional dan mematuhi peraturan di dalam mahkamah.
"Semua yang ada di dalam mahkamah ini menjalankan tugas
masing-masing, termasuk saya dan anggota polis. Kamu tidak boleh sesuka
hati menghina kerja kami," kata majistret itu.
Acu 'pengunci stering'
Suami tertuduh merayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman
terhadap isterinya atas alasan dia gagal meyakinkan wanita itu untuk
mendengar arahan mahkamah.
Terdahulu, Liew yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah
atas pertuduhan dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu seorang
penguat kuasa MPSJ, di sebuah kawasan parkir di Bandar Puteri Puchong
pada 1 tengah hari 6 September 2017 lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan
yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda yang boleh
sampai RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Insiden itu mula tular di media sosial di mana sebuah video berdurasi
satu minit dan 37 saat menunjukkan wanita itu memarahi anggota penguat
kuasa MPSJ sambil mengacukan ‘pengunci stering’ dan wanita itu dilihat
meninggikan lagi suaranya dan menjawab bahawa dia tidak mempunyai tempat
lain untuk meletakkan kenderaannya kerana dia terpaksa membeli makanan
untuk suaminya, seorang OKU.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin
menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat
tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali
dan pasport diserahkan ke mahkamah.
Mahkamah membenarkan tertuduh dikat jamin RM4,000 dengan seorang
penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon oleh Abu Arsalnaa dan
menetapkan 24 Nov untuk sebutan semula kes.
-Brnama
No comments:
Post a Comment