Hakim Abang Iskandar Abang Hashim berkata
atas kepentingan keadilan, beliau dan Hakim Mary Lim Thiam Suan tidak
akan mendengar rayuan itu dan akan menarik diri mereka.
PUTRAJAYA:
Dua hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar rayuan Ahli
Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli berhubung satu saman fitnah.
Saman itu dikemukakan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp)
dan pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail terhadap
Mohd Rafizi dan Malaysiakini berhubung pembelian sebuah hartanah di KL
Eco City di Bangsar.
Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang mempengerusikan panel 3
hakim Mahkamah Rayuan hari ini, berkata atas kepentingan keadilan,
beliau dan Hakim Mary Lim Thiam Suan tidak akan mendengar rayuan itu dan
akan menarik diri mereka.
Beliau sebelum itu memberitahu peguam, kedua-dua mereka sudah
bersidang dalam panel Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan dalam satu
lagi kes fitnah membabitkan Dr Mohamad Salleh dan Ahli Parlimen Lembah
Pantai Nurul Izzah Anwar pada 10 Julai tahun ini.
Peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Dr Mohamad
Salleh berkata kedua-dua hakim tidak seharusnya mendengar rayuan Mohd
Rafizi tetapi peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Mohd Rafizi
berhujah kedua-dua hakim berkenaan boleh mendengar rayuan itu kerana
kenyataan dalam kes Nurul Izzah berlainan sama sekali.
Kes itu kemudiannya dikemukakan bagi pengurusan kes hari ini di
hadapan pendaftar mahkamah yang menetapkan 23 Mac sebagai tarikh baharu
pendengaran rayuan di hadapan panel hakim baharu.
Seorang lagi hakim yang bersidang dalam panel hari ini ialah Tan Sri Idrus Harun.
Mohd Rafizi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
pada 31 Oktober tahun lepas, memerintahkan beliau membayar ganti rugi
RM200,000 kepada Dr Mohamad Salleh.
Sementara itu, Dr Mohamad Salleh turut merayu keputusan Mahkamah
Tinggi yang menolak tuntutan beliau terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd,
pemilik portal berita Malaysiakini yang dinamakan sebagai defendan kedua
dalam tuntutan saman itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh dan NFCorp, mendakwa
pada 7 Mac, 2012, Mohd Rafizi membuat kenyataan berbaur fitnah dalam
sidang media di Pejabat PKR berkaitan pembelian hartanah KL Eco City dan
kenyataan itu disiarkan oleh Malaysiakini pada hari sama.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan dalam
keputusannya menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Mohd Rafizi
adalah fitnah.
Peguam K. Shanmuga mewakili Malaysiakini.
FMT
No comments:
Post a Comment