Saturday, October 21, 2017

Senarai 10 jutawan Malaysia berubah

Sinar
Gagal atasi kejatuhan nilai ringgit
Gambar hiasan
(Ubah saiz teks)
SELEPAS kematian Puan Sri Lee Kim Hua, isteri kepada pengasas Kumpulan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dan terbaru, Pengasas YTL Corporation Bhd, Tan Sri Yeoh Tiong Lay, kedudukan senarai 10 jutawan Malaysia dijangka alami perubahan sedikit masa lagi.

Majalah mingguan Focus Malaysia pada Februari tahun ini mengumumkan Kim Hua mempunyai 6.63 peratus saham Kumpulan Genting dengan memiliki kekayaan sebanyak RM2.17 bilion sekali gus melayakkan beliau menjadi wanita terkaya di Malaysia.

Manakala Forbes pada Mac tahun ini ketika menyenaraikan 50 jutawan terkaya di negara ini, anak kedua Kim Hua, iaitu Tan Sri Lim Kok Thay yang kini menjawat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, berada di kedudukan nombor 6 jutawan terkaya Malaysia. Beliau dikatakan memiliki kekayaan sebanyak RM18.81 bilion.

Sementara mendiang Tiong Lay pula mempunyai RM8.87 bilion, berada di kedudukan nombor 7 selepas CEO Kumpulan Genting itu.

Menurut laporan China Press,  jika anak-anak Tiong Lay tidak berada antara 10 jutawan terkaya di negara ini, ia beri peluang kepada Ketua Pegawai Eksekutif NagaCorp, Tan Sri Dr Chen Lip Keong di kedudukan nombor 11 sebelum ini mengisi kekosongan itu.

Secara keseluruhannya, dalam tempoh lebih 10 tahun lalu, senarai 10 jutawan terkaya di Malaysia tidak alami perubahan ketara, yang memungkinkan kedudukan berubah hanyalah dari segi jumlah kekayaan mereka.

Selepas kematian isteri tauke Genting, wanita terkaya di Malaysia kini menjadi milik Pengasas yang juga Pengerusi Selangor Properties Bhd (SPB), Puan Sri Chong Chook Yew. Beliau dikatakan memiliki kekayaan sebanyak RM1.2 bilion dan berada kedudukan nombor 43 jutawan terkaya di negara kita.

Menurut akhbar ini, secara purata usia 10 jutawan terkaya di Malaysia adalah 80 tahun dengan Pengasas Hotel Shangri-La, juga dikenali sebagai 'Raja Gula', Tan Sri Robert Kuok adalah tertua daripada senarai itu.
Robert Kuok yang kini menjangkau usia 94 tahun jutawan paling kaya di Malaysia, memiliki kekayaan berjumlah RM48.17 bilion.

Ia diikuti Tan Sri Quek Leng Chan (76); Tan Sri Ananda Krishnan (79); Teh Hong Piow (87); Lee Shin Cheng (78); Lim Kok Thay (66); Yeoh Tiong Lay (88); Lau Cho Kun (82); Tiong Hiew King (82) dan Syed Mokhtar AlBukhary (65). Semuanya bergelar Tan Sri.
Daripada 10 jutawan ini, usia Syed Mokhtar paling muda dan diikuti Kok Thay.
"Jutawan yang berusia lanjut ini sebenarnya sudah pun melakukan perancangan tersendiri.

"Mereka mulai menyerahkan tanggungjawab kepada anak-anak dan pelapis secara berperingkat. Dunia korporat kita dijangka memperlihatkan kepimpinan usahawan baharu ini," lapor akhbar ini.

Pembangkang terus bangkit isu 1MDB

Pakatan pembangkang akan terus membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam sesi sidang Parlimen mulai Isnin ini hingga 30 November depan.
Selain isu 1MDB, ahli parlimen pembangkang juga tidak akan melepaskan peluang untuk meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai jumlah perbelanjaan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat dan bertemu Presidennya, Donald Trump.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, PKR akan mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang tidak membenarkan Parlimen membincangkan isu 1MDB.

"Selain bertanyakan sama ada boleh menuntut semula aset 1MDB yang telah dibekukan di Amerika Syarikat, pembangkang juga ingin mencabar Speaker kenapa tidak boleh membincangkan isu 1MDB dalam sesi Parlimen?," katanya ketika memberitahu Oriental Daily.

Menurut Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, semua kementerian mempunyai laporan audit, tetapi kenapa hanya laporan 1MDB perlu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Apakah istimewanya laporan 1MDB itu? Kalau tidak ada apa yang perlu disembunyikan, kenapa tidak diumumkan untuk pengetahuan semua orang?," soalnya.

Sementara itu, pembangkang turut melahirkan perasaan tidak puas hati kunjungan Najib ke Amerika Syarikat tidak berapa lama dulu.
"Kami ingin tahu berapa banyak wang telah dibelanjakan kerajaan ketika Najib mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat? Ada laporan media menyatakan Najib dan Trump telah berbincang mengenai isu Rohingya, tetapi ramai tidak tahu apa isi perbincangan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment