Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang Amanah, Wan
Anwar Wan Ibrahim mencabar Pemuda PAS mendedahkan butiran perjanjian
jual beli Wisma Tok Guru seperti didakwa parti Islam itu.
PETALING JAYA: Amanah yakin dapat mempertahankan Wisma Tok Guru di
Salor, Kelantan daripada dirampas PAS kerana mendakwa mereka mempunyai
kebenaran bertulis daripada pemilik asal tanah berkenaan.
Keyakinan itu disuarakan Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang
Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim berdasarkan prinsip ekuiti yang diamalkan
negara ini.
“Berdasarkan prinsip ekuiti, Amanah Kelantan telah menduduki tanah
tersebut dengan kebenaran tuan punya asal, malah mendapat kebenaran
bertulis daripada penama tanah dan tuan punya asal tanah tersebut.
“Tidak berbangkit isu kenapa Datuk Husam Musa (Adun Salor) tidak
memulakan saman ke atas pemilik tanah baharu kerana pada asasnya prinsip
ekuiti digunakan sebagai perisai (a shield not a sword).
“Amanah Kelantan bukanlah menduduki Wisma Tok Guru seperti setinggan.
Bahkan, jika ianya setinggan sekalipun, tuan punya tidak berhak
menghalaunya melainkan dengan mendapat perintah mahkamah terlebih
dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wisma Tok Guru menempatkan pejabat Amanah Kelantan dan adun Salor
daripada parti serpihan PAS itu. Bangunan itu menjadi rebutan apabila
Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohamad Yasin Yusof dikatakan membeli
tanah bangunan itu daripada waris pemiliknya, Datuk Rosli Ibrahim.
Bagaimanapun, Husam yang juga naib presiden Amanah berkata, Rosli
menerusi surat menyerahkan tapak bangunan itu untuk kegunaan beliau
sampai bila-bila.
Kelmarin, kekecohan tercetus apabila sekumpulan penyokong Pemuda PAS
memasang bendera di bangunan itu, tetapi dihalang Pemuda Pakatan Harapan
yang menyifatkannya “provokasi”.
Mengulas lanjut, Anwar mencabar Pemuda PAS mendedahkan butiran
perjanjian jual beli Wisma Tok Guru seperti didakwa parti Islam itu.
“Lazimnya, bagi pembelian setinggi RM700,000 ianya akan diperincikan
dalam satu perjanjian jual beli. Perjanjian jual beli itu pula akan
memperincikan kaedah pembayaran dan kaedah penyerahan kosong sesuatu
hartanah.
“Jika pembeli mendapati hartanah itu didiami orang lain, maka sebelum
baki wang pembelian dibayar sepenuhnya, penjual perlu memastikan tanah
itu benar-benar kosong dan tiada isu yang masih tergantung di mahkamah.
“Dalam hal ini, kami difahamkan terdapat pertindihan tuntutan oleh waris tanah tersebut.”
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari
mencabar Husam membawa tindakan Pemuda parti Islam itu memasang bendera
di luar Wisma Tok Guru, ke mahkamah.
Katanya, tindakan Pemuda PAS itu dianggap betul dari segi undang-undang, jika Husam tidak berbuat demikian.
“Kami tidak datang dengan sumpah seranah, tidak datang dengan
provokasi. Hanya sekadar memasang bendera di luar bangunan yang sudah
sah menjadi milik kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
No comments:
Post a Comment