Polis berkata angka kematian mungkin meningkat. - Foto AP
NEW DELHI - INDIA. Angka kematian akibat insiden letupan dandang sebuah
loji janakuasa arang batu di Uttar Pradesh, India, meningkat kepada 26
orang, lapor agensi berita China Xinhua pada Khamis.
"Sementara lebih 100 orang mengalami kecederaan dan dirawat di beberapa
buah hospital. Jumlah korban mungkin meningkat memandangkan ramai
mangsa yang cedera dilaporkan parah," kata Setiausaha Kementerian Dalam
Negeri Uttar Pradesh, Arvind Kumar pada sidang media di Lucknow.
Letupan berlaku di Loji Kuasa Tenaga Nasional (NTPC) di Unchahar,
daerah Raebareli pada Rabu, ketika 200 kakitangan sedang bertugas.
Pegawai kanan, Sanjay Kumar Khatri berkata kepada pemberita, operasi
mencari dan menyelamat besar-besaran telah dilancarkan bagi mengesan
mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan.
Loji janakuasa itu dikatakan berusia hampir 30 tahun, tetapi letupan
berlaku di unit penjanaan kuasa 500 megawatt dan baru beroperasi Mac
tahun ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment