Faedah itu akan disediakan menerusi kad elektronik "I
Love Penang" dengan nilai kredit RM300 boleh dituntut di semua klinik
swasta untuk khidmat nasihat dan ubatan.
GEORGE
TOWN: Keluarga di Pulau Pinang akan nikmati rawatan kesihatan percuma
bernilai RM300 di klinik swasta bermula tahun depan sebagai sebahagian
daripada RM60 juta diperuntukkan kepada program “Healthy Penang” (Pulau
Pinang Sihat) yang akan dilaksanakan bawah Bajet 2018 negeri itu.
Program itu akan memberi faedah kepada 195,000 isi rumah, iaitu
hampir separuh daripada 400,000 isi rumah di negeri itu dengan
pendapatan gabungan bulanan sebanyak RM5,000 dan ke bawah, kata Ketua
Menteri Lim Guang Eng kepada persidangan DUN hari ini.
Katanya, faedah itu akan disediakan menerusi kad elektronik “I Love
Penang” dengan nilai kredit RM300 yang boleh dituntut di semua klinik
swasta untuk khidmat nasihat dan ubatan.
Pemegang kad dibenarkan menggunakan RM50 pada setiap lawatan ke klinik.
Mereka yang tidak berkahwin akan memperoleh kredit sebanyak RM150,
dengan syarat pendapatan mereka bawah RM2,500 sebulan. Mereka juga
dibenarkan menggunakan RM50 pada setiap lawatan klinik.
“Ini akan bantu rakyat biasa yang bekerja untuk mendapatkan khidmat
rawatan doktor serta merta apabila mereka jatuh sakit tanpa berasa
terlalu bimbang tentang caj mahal yang dikenakan atau terpaksa ke klinik
kerajaan yang jauh dari rumah.
“Ini langkah serius oleh kerajaan Pulau Pinang walaupun hakikatnya kesihatan adalah bawah kuasa persekutuan sepenuhnya.
“Ini berbeza dengan pemotongan kos bekalan kesihatan untuk orang awam
dan ubatan oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM19 juta iaitu RM950
juta pada 2017 kepada RM931 juta pada 2018,” kata Lim.
Beliau juga berkata pemeriksaan mammogram percuma yang sedia ada
untuk wanita berumur 35 tahun ke atas akan diteruskan, dengan peruntukan
sebanyak RM3.2 juta tahun depan.
Seramai 30,000 wanita dijangka dapat menjalani ujian mammogram percuma pada menjelang 2020.
Kad “I Love Penang” juga akan digunakan untuk menyediakan elaun kepada penerima bantuan kebajikan negeri, kata Lim.
Kad ini akan menjadi kunci akses kepada pelbagai kemudahan dan faedah sosial disediakan kerajaan negeri.
“Pengurusan dan pengagihan semua program kebajikan kerajaan akan
diperkemas dan disepadukan dengan kad. Ini akan memudahkan kehidupan
rakyat Pulau Pinang.
“Kita hanya perlu bawa kad itu pada masa depan dan mungkin kad alam
maya dalam bentuk aplikasi mudah alih yang dimuat turun pada telefon
pintar, bagi mendapat akses kepada pembayaran, faedah dan kemudahan
awam,” katanya.
No comments:
Post a Comment