Bekas pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Subky
Latif berkata, PAS tidak rugi apabila nama Ambiga disebut kerana beliau
boleh membantu mencari kebenaran dan keadilan untuk parti itu.
PETALING
JAYA: Seorang veteran PAS menasihatkan partinya tidak perlu takut atau
berprasangka terhadap Datuk Ambiga Sreenevasan yang dikatakan ialah
sumber dalam dakwaan pemimpin tertinggi parti Islam itu menerima RM90
juta daripada perdana menteri.
Bekas pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Subky Latif berkata, semua
pihak termasuk orang PAS perlu mendiamkan diri serta memberi masa
kepada mahkamah mengendalikan saman fitnah yang dikemukakan Datuk Seri
Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
“Saya kira tidak bijak orang di luar mahkamah campur tangan dalam
urusan perbicaraan itu sebelum mahkamah menyelesaikan tugasnya.
“PAS tidak ada sebarang kerugian apabila nama Ambiga disebut. Kiranya
betul dia jadi sumber/punca laporan Sarawak Report itu, maka kita
bertambah dekat dengan pihak yang memulakan perkara itu.
“Jika PAS sabar dan diikuti dengan solat hajat, Ambiga boleh jadi
kawan dalam mencari kebenaran dan keadilan semasa menghadapi saman yang
difailkannya itu,” tulis Subky dalam laman berita rasmi PAS,
Harakahdaily semalam.
Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London, pada 21 April
lalu, terhadap satu artikel Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang
mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha
Datuk Seri Najib Razak “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong
Barisan Nasional dan Umno.
Ahad lalu, media melaporkan Clare dalam tuntutan balas terhadap saman
presiden PAS itu mendakwa beliau dan Ambiga ada bercakap mengenai
Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.
“Ambiga memberitahu defendan sumbernya yang dikatakan boleh
dipercayai, menganggarkan jumlah yang dibayar itu sekitar RM90 juta,”
kata Clare dalam afidavitnya bertarikh 11 Oktober lalu.
Clare dalam pembelaannya menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pegawai
PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang daripada dana disyaki
1MDB.
Subky yang merupakan antara pengasas akhbar parti Harakah berkata,
peguam kedua-dua pihak akan meminta Ambiga mendedahkan sumbernya bagi
membuktikan dakwaan itu.
Katanya, jika bekas presiden Majlis Peguam itu menafikannya, maka editor Sarawak Report yang perlu menanggung akibatnya.
“PAS tidak perlu susah dengan Ambiga. Soal utama bagi PAS sekarang
ialah mahu membuktikan Sarawak Report memfitnahnya dan bagaimana dia
dapat cerita itu?
“Kita pula hendak tahu sumbernya. Sekutu-sekutu PAS sesama Pakatan
Rakyat dulukah? Atau DAP kah. Atau Umno sendiri? Atau mungkin orang PAS
sendiri khususnya yang lari parti itu. Orang PAS yang setianya tidak
berbelah bagi kepada jemaah tidak akan khianat pada partinya.
“Dan mungkin juga yang kencang membalun Ambiga atas sebutan di
mahkamah England itu yang memberitahu demikian kepada Ambiga dan gelabah
kalau Ambiga dengan bukti cukup memberitahu melalui saluran betul
dialah sumbernya.
“Biarkanlah mereka menyelesaikan masalah mereka. PAS tiada rugi
apa-apa, sebaliknya dapat menonton apa hendak jadi atas perkara itu.”
Selasa lalu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dilaporkan menggesa
Ambiga memohon maaf kepada PAS selepas Clare mendakwa beliau ialah
sumber dakwaan pemimpin PAS menerima dana daripada perdana menteri.
Katanya, Ambiga tidak boleh berdiam diri kerana beliau dikenali sebagai aktivis yang memperjuangkan integriti.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali
berkata, Ambiga perlu membuat penjelasan kerana dakwaan itu merosakkan
kewibawaannya.
“Di mana sumber Ambiga? Adakah ia suatu andaian atau pun ada sumber yang tepat?” soal ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
No comments:
Post a Comment