Tinjauan mendapati Cina dan orang berkulit putih
menjadi pilihan teratas dalam senarai responden untuk berpasangan dengan
kaum lain.
SINGAPURA:
Berdasarkan satu tinjauan dikeluarkan semalam, orang Melayu dan India
warga Singapura lebih suka anak cucu berpasangan dengan orang Cina dan
orang kulit putih, manakala rakyat Cina lebih selesa berpasangan dengan
orang kulit putih berbanding Melayu dan India, lapor akhbar Singapura,
The Straits Times.
Tinjauan dijalankan oleh Institut Kajian Dasar-Channel News Asia
(IPS) ke atas 2,020 rakyat Singapura yang dipilih secara rawak merentasi
faktor geografi, kaum dan umur.
Dalam kalangan Melayu, 91.2% daripada mereka yang berusia 26 hingga
35 tahun selesa jika anak berpasangan dengan orang Cina, manakala 85.7%
dengan orang kulit putih dan 81.3% dengan orang India.
Orang India dalam kategori usia yang sama menunjukkan kecenderungan
seperti orang Melayu di mana 89.3% selesa jika anak berpasangan dengan
orang Cina, manakala 87.5% dengan orang kulit putih dan 75.4% dengan
orang Melayu.
Berbeza pula dengan orang Cina dalam kategori umur sama, di mana
orang berkulit putih menjadi pilihan pertama iaitu 74.5%, manakala 64.6%
selesa jika anak berpasangan dengan orang Melayu, dan 56.5% dengan
orang India.
Ini sekaligus meletakkan Cina dan orang berkulit putih pada kedudukan
teratas dalam senarai pilihan responden untuk berpasangan dengan kaum
lain.
Pada satu taklimat media semalam, felo kanan penyelidikan di IPS, Dr
Mathew Mathews berkata, sesetengah orang mungkin melihat perkara ini
sebagai prejudis.
“Namun, ini hanya menunjukkan yang budaya terus dilihat sebagai aspek
penting untuk masa depan seseorang dan bagaimana anak mereka
dibesarkan, dan juga untuk mengelakkan pelbagai percanggahan dan isu
(pada masa depan).
“Singapura masih bukan syurga pelbagai budaya seperti yang
dijangkakan oleh sesetengah orang,” kata Mathews berhubung dapatan
tinjauan tersebut seperti dipetik oleh The Straits Times.
Beliau berkata sedemikian berikutan tinjauan itu mendapati walaupun
responden menunjukkan minat yang tinggi, kurang daripada separuh
mempunyai pengalaman menyertai aktiviti atau amalan budaya lain seperti
makan menggunakan tangan, menyertai festival utama dan perkahwinan, dan
juga mencuba memakai pakaian tradisional budaya dan etnik lain.
“Satu pengajaran (daripada tinjauan) adalah dalam kita mementingkan
identiti etnik sendiri, kita juga harus belajar menghormati dan memahami
budaya dan amalan penting kumpulan etnik lain,” katanya seperti dipetik
The Straits Times.
Contohnya, responden orang Cina dan India dalam kategori umur yang
lebih muda menunjukkan pemahaman yang kurang dalam amalan masyarakat
Islam seperti makanan halal, memakai tudung, tidak mengambil alkohol,
dan menyentuh anjing.
Akhbar itu juga melaporkan, menurut penyelidik, kurangnya interaksi
dan persahabatan antara kaum mungkin penyebab kurangnya pemahaman antara
budaya dalam kalangan pemuda warga Singapura dan oleh itu, lebih banyak
usaha perlu dijalankan untuk memupuk interaksi, perbincangan dan
pembelajaran antara kumpulan kaum di Singapura
bergabung dengan kami segera agen judi terpercaya D^E^W^A^P^K :* :* :*
ReplyDelete