(Ubah saiz teks)
ALOR SETAR - Kurang kesedaran untuk menguasai ilmu kepenggunaan
menjadi antara punca orang ramai mudah tertipu dengan sindiket mahupun
ejen penipuan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga
mengalami kerugian ribuan ringgit.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff
berkata, setakat ini lebih 40 aduan diterima pihaknya mengenai penipuan
sedemikian termasuk pengeluaran untuk membeli rumah, pendidikan dan
pelaburan sejak 2015.
Beliau berkata kes terkini yang diterima pihaknya adalah pada awal
Oktober lepas, membabitkan 16 mangsa di negeri ini mengalami kerugian
mencecah RM30,000 apabila wang simpanan KWSP mereka ditipu individu yang
mendakwa sebagai ejen pengeluaran untuk membayar yuran pengajian anak
mereka melanjutkan pelajaran.
“Bagaimanapun, selepas duit RM30,000 dikeluarkan daripada simpanan KWSP
mangsa, anak mereka tidak boleh menyambung pengajian seperti ditawarkan
sebelum ini, dengan alasan yang diberikan antaranya tiada jurusan yang
dimohon anak mereka di kolej terbabit.
"Apabila mangsa minta duit mereka balik, pelbagai alasan diberikan ejen
berkenaan malah ada ejen yang sudah hilang macam itu sahaja sehingga
tidak dapat dijejaki," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohamad Yusrizal berkata, mangsa tidak membuat laporan polis berhubung
perkara itu dan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak CAKE
untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan dan kini kes masih dalam
siasatan pihak berkaitan.
Beliau berkata, berdasarkan aduan dibuat mangsa kepada CAKE pihaknya
mendapati modus operandi sindiket penipuan berkenaan menyasarkan
masyarakat luar bandar terutamanya mereka yang dilihat kurang
berpengetahuan tentang prosedur dan tatacara pengeluaran KWSP itu.
“Sindiket dan ejen ini tidak akan menggunakan platform media sosial
untuk mendekati mangsa mereka kerana menerusi media sosial mudah dikesan
pihak berkuasa. Kebiasaannya sindiket dan ejen penipuan pengeluaran
KWSP ini lebih memilih cara ‘offline’ iaitu bersemuka dengan mangsa
seperti reruai semasa penganjuran karnival tertentu atau buka meja di
masjid-masjid,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal menasihati pengguna di negara ini
supaya sentiasa berhati-hati dengan sindiket dan apabila didekati
individu tertentu dengan cara menyiasat latar belakang mereka sebelum
membuat persetujuan mengeluarkan simpanan KWSP mereka untuk apa tujuan
sekali pun.
Selain itu, katanya pengguna boleh merujuk kepada persatuan pengguna
bagi mendapatkan pendapat berhubung pengeluaran simpanan sekiranya
memerlukan wang untuk menyelesaikan apa jua masalah dihadapi mereka.
“Sesetengah orang memerlukan duit KWSP untuk bayar deposit rumah
ataupun sambung belajar bagi yang tiada simpanan tetap. Kami faham
situasi itu. Tetapi jika individu yang mendakwa sebagai ejen seperti
ini, tolonglah jangan buat keputusan terburu-buru. Tanya pendapat orang
lebih arif seperti perancang kewangan atau datang tanya pendapat kami
dahulu pun tidak ada masalah. Ini untuk elak mereka ditipu sindiket
serta ejen sedemikian,” katanya.
Bernama bagaimanapun gagal untuk menemu bual mangsa berikutan mereka
enggan berbuat demikian kerana khuatir akan mengancam keselamatan mereka
sementelah kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkaitan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah
Superintendan Chan Teck Paing berkata, pihaknya tidak menerima laporan
berhubung kes berkenaan setakat ini kerana berkemungkinan pemilik akaun
sendiri berpakat dengan sindiket untuk cuba mengeluarkan simpanannya.
“Setahu saya tiada laporan polis diterima pasal isu ini dan tiada
siasatan dijalankan oleh pihak JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial)
Kedah,” katanya.
Namun, beliau menasihati orang ramai supaya bijak menggunakan simpanan
KWSP mereka sebaik mungkin untuk mengelakkan mereka terpedaya dengan
tipu helah pihak yang menawarkan ‘bantuan’ bagi mengeluarkan simpanan
itu yang kebiasaannya akan mengenakan komisen tinggi (selalunya melebihi
50 peratus).
“Wang simpanan KWSP merupakan hasil titik peluh pencarum dan akan
menjadi sumber menyara kehidupan selepas persaraan kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Teck Paing berkata, perbuatan mengeluarkan wang
simpanan melalui dokumen ataupun urusan palsu juga adalah suatu
perbuatan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah
Seksyen 59 Akta KWSP iaitu melakukan pengisytiharan tidak betul,
kegagalan memberikan penyata atau mengemukakan dokumen palsu. - Bernama
No comments:
Post a Comment