Pakar ekonomi, Nor Zahidi Alias kesal ramai graduan
Malaysia sukar menyuarakan pendapat mereka ketika ditemu duga kerana
tidak fasih dan seterusnya memberi kesan negatif kepada tahap keyakinan
mereka.

PETALING JAYA: Kurang fasih berbahasa Inggeris dan pendedahan kepada
realiti adalah 2 faktor utama menyebabkan graduan Malaysia gagal
mendapat pekerjaan, kata seorang pakar ekonomi.
Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd (MARC), Nor Zahidi
Alias berkata, jumlah graduan menganggur di negara ini meningkat sejak
beberapa tahun ini, walaupun asas pasaran buruh kekal baik.
Beliau dalam kolum The Edge berkata, sebahagian isu itu disebabkan graduan lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.
“Dalam rantaian bekalan, fasih berbahasa Inggeris ialah kemahiran penting yang dikehendaki kebanyakan majikan.
“Malah, berdasarkan pengalaman saya, majikan selalunya mengambil masa
kurang 5 minit untuk menilai kemahiran komunikasi calon sebelum
menentukan mahu mengambil mereka atau sebaliknya. Semakin baik mereka
berkomunikasi, majikan berpotensi lebih tertarik kepada mereka.”
Zahidi bagaimanapun kesal ramai graduan Malaysia sukar menyuarakan
pendapat mereka ketika ditemu duga kerana tidak fasih dan seterusnya
memberi kesan negatif kepada tahap keyakinan mereka.
“Ini jelas menjadi isu kepada mereka yang mencari kerja dalam sektor perkhidmatan, di mana komunikasi ialah kemahiran utama.”
Katanya, kurang pengalaman dalam dunia sebenar juga menjadi masalah
kerana banyak syarikat mencari pekerja berpengalaman sebelum mereka
tamat pengajian.
“Malangnya di Malaysia, pelajar tidak fokus kepada pengalaman dunia
sebenar. Sebaliknya, mereka lebih tertumpu mendapatkan gred baik.
“Bukannya graduan dengan semua A yang majikan cari.”
Zahidi berkata demikian susulan kebimbangan terhadap kadar
pengangguran belia di Malaysia yang mencecah 10.7% pada 2015 – lebih 3
kali ganda daripada 3.1% kadar pengangguran negara.
Statistik dalam laporan tahunan Bank Negara 2016 menunjukkan peningkatan 1.2% daripada kadar sebelum ini, iaitu 9.5%.
Dari segi kebolehgajian, belia dengan kelulusan pengajian tinggi paling ramai menganggur, iaitu 15.3%.
Kira-kira 16% belia berumur 15 hingga 24 tahun dilaporkan
berkelulusan pengajian tinggi, manakala 84% hanya menamatkan pengajian
sekolah menengah.
Satu tinjauan tenaga kerja yang dijalankan kerajaan menunjukkan
pekerjaan berkembang perlahan, manakala pengangguran semakin meningkat.
Pada 2016, kadar pengangguran ialah 3.4%, meningkat 0.3% daripada 3.1% pada 2015. Pada 2014, kadar pengangguran hanya 2.9%.
Walaupun terdapat penurunan pada jumlah belia menganggur, separuh
daripada penggangur terdiri daripada mereka yang berumur 20 hingga 29
tahun, iaitu pada 60.4% berbanding 62.5% pada 2015.
Bank Negara mengaitkan peningkatan pengangguran belia ini dengan
kekurangan pengalaman, asimetri maklumat dalam pasaran kerja dan
kemahiran komunikasi yang lemah.
Menurut laporan itu lagi, dari segi kebolehgajian, peratusan belia
menganggur paling tinggi terdiri daripada mereka yang berkelulusan
pengajian tinggi iaitu 15.3%.
Zahidi berkata, keadaan berubah sejak beberapa tahun ini, di mana
institusi pengajian lebih menekankan aktiviti luar kurikulum dalam
permohonan kolej atau universiti.
Katanya, program latihan amali akan membolehkan pelajar universiti mendapat pengalaman dalam dunia sebenar.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran tiada jalan singkat untuk menyelesaikan masalah ini.
Walaupun program latihan amali membantu, katanya, pelajar masih sukar mendapat tempat.
“Tidak banyak syarikat di Malaysia yang suka mengambil pelajar hanya untuk 2 atau 3 bulan.
“Jika mereka mengambil pelajar untuk latihan amali sekalipun,
biasanya mereka tidak mempunyai program latihan berstruktur untuk
pelajar ini. Hasilnya, hanya yang paling cemerlang dan mereka yang
mempunyai hubungan baik dipilih organisasi perniagaan untuk latihan
amali.”
Beliau berkata, usaha kerajaan menambah baik kemahiran bahasa dalam
kalangan guru bahasa Inggeris adalah permulaan baik, tetapi lebih banyak
perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris
dalam kalangan graduan.
“Menggalakkan pelajar menonton program televisyen bahasa Inggeris yang sesuai juga dapat membantu.”
Beliau juga mencadangkan sebuah badan ditubuhkan untuk membantu
pelajar universiti mendapat tempat dalam program latihan amali di
organisasi berkaitan
No comments:
Post a Comment