Bagi pihak pembangkang, hanya Setiausaha Agung DAP,
Lim Guan Eng hadir manakala pemimpin tertinggi PKR serta PPBM yang lain
tidak hadir.
PETALING
JAYA: Hanya 6 daripada 60 menteri dan timbalan menteri menyertai
pengundian Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2018 untuk Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Dewan
Rakyat, pada malam Isnin lalu.
Sin Chew Daily melaporkan bagi pihak pembangkang pula, hanya
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang hadir, manakala pemimpin
tertinggi PKR serta PPBM, termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hadir.
Pemimpin tertinggi PAS, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan,
Nasrudin Hassan dan bekas ketua Pemuda, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
juga tidak kelihatan dalam Dewan Rakyat.
Akhbar itu difahamkan wakil rakyat Barisan Nasional “mendapat berita”
pihak pembangkang mahu meminta speaker Dewan Rakyat mengadakan undi
belah bahagi RUU Perbekalan 2018 untuk Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bagaimanapun itu tidak berlaku.
Oleh itu, apabila tiba giliran RUU Perbekalan 2018 KPDNKK, ahli
Parlimen BN dengan “senang hati” meninggalkan Dewan Rakyat untuk makan
dan bersolat.
Enam menteri dan timbalan yang menyertai pengundian itu ialah Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah
Zainudin; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II,
Datuk Seri Ong Ka Chuan; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique; Timbalan
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Timbalan
Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang dikatakan
lewat memasuki Dewan.
Difahamkan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Datuk Chua Tee Yong tidak sempat mengundi kerana memasuki
Dewan pada saat akhir.
Isnin lalu, RUU Perbekalan 2018 KPDNKK diluluskan dengan majoriti
tipis 1 undi, di mana 52 undi menyokong, 51 undi menentang dan 3 ahli
Parlimen PAS tidak mengundi.
Kekecohan berlaku selepas Datuk Seri Ronald Kiandee mengumumkan
keputusan itu, di mana Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Mohamad Imran
Abdul Hamid (PKR-Lumut), Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) menjerit
“tipu” kepada timbalan speaker Dewan Rakyat.
Ini kerana, ketika loceng undi belah bahagian dibunyikan, kebanyakan
ahli Parlimen BN tidak kelihatan dalam Dewan Rakyat. Selepas loceng
dibunyikan selama 2 minit berakhir, masih ada ahli Parlimen BN berlari
ke dalam Dewan untuk mengundi.
Antara wakil rakyat BN didakwa lewat memasuki Dewan, tetapi
dibenarkan mengundi termasuk Datuk Raime Unggi (BN-Tenom), Datuk Koh Nai
Kwong (BN-Alor Gajah), Azalina dan Ismail Sabri.
Sementara itu, ahli Parlimen pembangkang yang menyertai perancangan
itu memberitahu Sin Chew Daily, mereka tidak meminta undi belah bahagi
diadakan untuk RUU Perbekalan 2018 Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana wakil rakyat BN ramai ketika itu
dan tahu pihak lawan mengetahui perancangan awal mereka.
“Daripada ‘body language’ mereka boleh nampak mereka lega dan keluar
dari Dewan selepas RUU Perbekalan 2018 Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan diluluskan.
“Kami tahu peluang sudah tiba, jadi apabila sampai RUU Perbekalan
2018 KPDNKK, kami melancarkan serangan dengan G Manivannan (PKR-Kapar)
meminta undi belah bahagi diadakan.”
No comments:
Post a Comment