Saturday, November 25, 2017

Lihat sendiri harga tiket musim perayaan, Bung beritahu CEO AirAsia

 | November 24, 2017
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin juga mendakwa Malindo Airlines turut mengenakan harga tiket yang tinggi.
bung-aireen
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin pula meminta Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar untuk melihat pergerakan tiket pada Tahun Baru Cina, dan berkeras mengatakan harga tiket akan mencecah hampir RM2,000 untuk satu tiket sehala dari Sandakan ke Kuala Lumpur.

Dalam beberapa status Twitter, Bung mempertahankan dakwaannya walaupun satu penafian dikeluarkan oleh ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan tambang murah itu.

“AirAsia tidak boleh menafikan fakta, tiket dijual pada waktu padat terutama waktu hari raya meningkat. Harga RM1,780 itu meningkat hampir-hampir RM2,000,” katanya.
“Kalau tidak percaya, kita tunggu masa sekolah akan buka dan CNY (Tahun Baru Cina) dah hampir, kita tengok pergerakan harga AirAsia. Dan saya mahu Aireen Omar lihat sendiri harga tiket mereka.”

Bung manjawab kenyataan Aireen yang mengatakan dakwaan Bung tentang harga RM2,000 untuk tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Sandakan sebagai “sangat tidak benar”.

Aireen berkata tambang purata penerbangan AirAsia antara Kuala Lumpur dan Sandakan adalah RM213 dan semasa musim kemuncak, tambang paling tinggi adalah kira-kira RM1,180, yang mana masih merupakan paling rendah dalam pasaran.

Sementara itu, Bung turut mendakwa satu lagi syarikat penerbangan bajet, Malindo Airlines, mengenakan harga tiket tinggi.
“Permainan pintar strategi perniagaan AirAsia juga turut dikongsi bersama oleh Malindo Airlines. Ingat, rakyat sakarang semakin pintar,” katanya.

Pada Selasa, Bung mengkritik AirAsia dan Malaysia Airlines, mengatakan 2 syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan tidak memuaskan hati dan tidak mencukupi ke destinasi di Sabah.
Bercakap di Dewan Rakyat, Bung mendakwa AirAsia menolak penumpang walaupun mereka hanya lewat 10 minit dan akan menyuruh mereka membeli tiket baharu.

Bung berkata Air Asia perlu lebih memikirkan pelanggannya berpendapatan rendah dan bukannya hanya tahu mengenakan caj tersembunyi, yang mana Aireen menafikan dengan mengatakan “tiada caj tersembunyi”. FMT

No comments:

Post a Comment