Sinar, 17 November 2017
ISLAMABAD - PAKISTAN. Cara seseorang itu makan, laju atau perlahan,
boleh menentukan sama ada individu berkenaan berisiko menghidap penyakit
jantung, strok dan diabetes, lapor Associated Press of Pakistan (APP).
Menurut satu penyelidikan awal, makan dan kunyah secara perlahan,
membantu melambatkan sindrom metabolik seperti tekanan darah tinggi,
diabetes, obesiti dan tahap kolesterol tidak normal.
Sebaliknya, makan dengan terlalu laju atau cepat boleh menyebabkan gula
dalam darah turun naik, yang boleh menyebabkan rintangan terhadap
insulin.
Menurut penyelidikan yang dikemukakan di simposium American Heart
Association Scientific Sessions 2017, makan dengan lebih perlahan
berupaya menjadi kunci penjagaan kesihatan dan tubuh badan.
Satu pasukan dari Universiti Hiroshima, Jepun menjalankan kajian
terhadap 642 lelaki dan 441 wanita, dengan usia purata 51.2 tahun, tiada
yang mempunyai sindrom metabolik, pada 2008.
Mereka dibahagikan kepada tiga kategori, berdasarkan kepada cara mereka
menjelaskan bagaimana mereka makan iaitu lambat, biasa atau cepat.
Kajian mendapati makan dengan laju iaitu sebanyak 11.6 peratus, lebih
cenderung mengalami sindrom metabolik, berbanding makan secara biasa
(6.5 peratus) dan perlahan (2.3 peratus).
Makan dengan laju juga dikaitkan dengan peningkatan berat badan, pinggang lebih besar dan glukosa dalam darah lebih tinggi.
Selain itu, mengunyah makanan secara perlahan, membolehkan otak
menerima isyarat kenyang bermakna anda lebih cenderung berhenti makan
sebelum kekenyangan.
Sementara, mereka yang mengunyah makanan atau makan dengan cepat,
cenderung tidak berasa kenyang dan akan makan lebih banyak. - Bernama
No comments:
Post a Comment