Hannah Yeoh berkata Sultan Sharafuddin menitahkan perkara itu disiasat pihak berkuasa undang-undang.

SHAH ALAM: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) tidak seharusnya campur
tangan dalam isu membabitkan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr
Mahathir Mohamad yang didakwa menghina etnik Bugis, kata Speaker Hannah
Yeoh.
Beliau berkata ini kerana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah, Jumaat lepas menjurus supaya perkara itu disiasat pihak
berkuasa.
“Titah Tuanku adalah untuk polis menjalankan siasatan. Itu di perenggan terakhir (dalam kenyataan media).
“Tuanku tidak meminta Dewan untuk menyiasat. Tuanku bertitah supaya
pihak berkuasa yang menyiasat perkara itu. Jadi mengapa dewan perlu
masuk campur,” katanya pada sidang media selepas sidang DUN Selangor
hari ni.
Beliau berkata demikian bagi mengulas memorandum yang disampaikan
oleh Adun Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini kepada Istana Selangor
bagi membantah tindakan DNS menolak usul membahaskan kenyataan Dr
Mahathir itu.
Pada sidang DNS semalam, Yeoh menolak usul tergempar yang dikemukakan
Datuk Abduk Shukor Idrus (BN-Kuang) untuk membahaskan isu berkenaan.
Penyelaras ADUN BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata
memorandum itu sebagai sokongan terhadap titah baginda yang menzahirkan
kemurkaan terhadap kenyataan itu. FMT
No comments:
Post a Comment