Ahli Parlimen DAP, Zairil Khir Johari berkata, buku teks baharu juga dibeli tanpa kandungan digital.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari terus
mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan membeli buku teks bahasa
Inggeris import tanpa melalui tender terbuka.
Jurucakap Parlimen DAP untuk pendidikan, sains dan teknologi itu
berkata, pembelian buku teks import itu nampaknya dibuat melalui
rundingan terus dengan penerbit tempatan Pan Asia Publications dan Desa
Fikir.
Katanya, proses itu jelas berbeza dengan pembelian buku teks tempatan yang tertakluk kepada tender terbuka kompetitif.
“Kementerian Pendidikan bertanggungjawab memberi penjelasan kepada
rakyat Malaysia kenapa ia memutuskan penggantian buku teks tempatan
dengan yang ‘diimport’ dalam masa singkat dan tanpa prosedur tender
sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ini bukan kali pertama Zairil bercakap mengenai isu ini. Khamis lalu,
beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kos pembelian buku teks baharu
dan buku import itu hanya sesuai dalam konteks British kerana tidak
menggunakan isi kandungan tempatan.
Beliau berkata, buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk tahun 1 dan
tingkatan 1 yang diluluskan melalui tender terbuka dengan kos RM9.20 dan
RM7.50 setiap salinan.
“Ini menjadikan kosnya kira-kira RM7.1 juta berdasarkan jumlah
pendaftaran pelajar semasa, perbezaan jauh berbanding buku teks import,”
katanya merujuk kos penyediaan buku teks import bagi setiap pelajar
yang berjumlah RM33 juta.
Ketika mempersoalkan keputusan Kementerian Pendidikan menggunakan
buku teks baharu kurang setahun selepas kelulusan dan pembelian buku
teks tempatan, Zairil berkata, buku teks baharu itu dibeli tanpa
disertakan kandungan digital.
“Hampir setiap muka surat dalam buku teks itu mengandungi arahan dan
rujukan kandungan audio yang sudah dikeluarkan daripada versi tempatan.
“Walaupun usaha meningkatkan kecekapan bahasa Inggeris di kalangan
pelajar dan guru perlu disokong, ini tidak bermakna Kementerian
Pendidikan boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka, dan lebih teruk
lagi merisikokan masa depan anak-anak kita melalui keputusan tidak
bertanggungjawab dan tidak bijak.”
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete