05/12/17
(Ubah saiz teks)
BATU PAHAT - “Saya tertanya-tanya juga punca anak saya tak balas atau
baca mesej WhatsApp. Saya sangka dia sedang menunggang motosikal,” kata
Haslan Hamidan, 45.
Haslan berkata, kali terakhir anaknya, Nur A’liyah, 16, berbalas mesej
dengannya ialah pada jam 6.55 pagi semalam dan mesej yang dihantar
sekitar jam 7.04 pagi tidak dibalas ataupun dibaca anaknya.
Menurutnya, lebih mengejutkan apabila dia turut menerima panggilan
telefon daripada Balai Polis Yong Peng yang menemui motosikal miliknya
di tepi jalan tanpa kelihatan kelibat anaknya yang mesra dipanggil
Along, pada jam 9.30 pagi.
“Jika diikutkan, ketika kejadian Isnin lalu, Along akan duduki ujian
berkomputer bagi mendapatkan lesen memandu di Batu Pahat, selain turut
bercuti daripada kerja sambilannya di sebuah restoran makanan segera di
Yong Peng.
“Saya yang ketika itu sedang bekerja di Subang, Selangor, terkejut
dengan panggilan itu dan bergegas pulang ke Yong Peng. Saya terus ke
balai polis untuk mengetahui perkara sebenar dan pegawai penyiasat
memaklumkan yang anak saya hilang, selain motosikal ditemui di Jalan
River Estet, Yong Peng, berkeadaan masih baik,” katanya.
Haslan berkata, dia juga membuat semakan pendaftaran di hospital, namun
nama anaknya tidak termasuk dalam senarai nama pesakit dan kini dia
sekeluarga bingung dengan kehilangan anaknya itu.
Katanya, dalam masa sama dia turut memeriksa bilik dan semua barangan
anaknya tidak hilang malah ada beberapa pakaian yang siap dibasuh.
“Apa dibawa hanyalah beg sandang yang biasanya diisi dengan telefon bimbit serta alat soleknya.
“Cuma yang saya bimbang, ada beberapa rakan baik Along kata dalam
beberapa hari ini, seperti ada orang mengekorinya sehingga ke rumah.
Buat masa ini saya tak syak sesiapa malah polis masih kategorikan kes
sebagai orang hilang dan usaha untuk mencarinya masih dilakukan,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul
Wahib Musa berkata, pihaknya kini giat mencari mangsa berdasarkan
laporan yang dibuat oleh keluarganya.
INFO
- Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh hubungi balai polis berhampiran atau hubungi IPD Batu Pahat, 07-4343999
No comments:
Post a Comment