TMJ berkata kelab pada awalnya tidak berniat untuk
memanjangkan isu bayaran tetapi Mario Gomez terlebih dahulu membuat
kenyataan kepada umum menyebabkan pihaknya terpaksa bersuara.
PETALING
JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar
Mario Gomez menyamannya di mahkamah berhubung dakwaan kelab itu gagal
membayar gaji bekas jurulatih kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) tersebut.
Menerusi kiriman Facebook JDT hari ini, TMJ berkata kelab itu pada
awalnya tidak berniat untuk memanjangkan isu itu tetapi Gomez terlebih
dahulu membuat kenyataan kepada umum menyebabkan pihaknya terpaksa
bersuara.
“Saya, TMJ, tidak perlu saya nyatakan berapa banyak wang yang saya ada. Masuk akal atau tidak RM60,000 tidak mampu saya bayar?
“Teruskan usaha, Mario…sila bawa saya ke mahkamah kerana saya tidak
pernah merasa ke mahkamah dan saya ingin merasainya,” tulisnya.
Gomez hari ini dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang
terhadap TMJ selepas dikatakan gagal melunaskan gajinya semasa bersama
kelab itu.
“Kita akan berjumpa di mahkamah tidak lama lagi. Mereka tidak mahu
membayar gaji saya. Peguam saya dan saya sendiri sedang berusaha untuk
membentangkan kes ini ke Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).
“Saya akan berikan mereka maklumat yang sangat sensitif,” katanya memetik laporan Malay Mail Online.
Gomez kini menggalaskan tugas sebagai jurulatih kelab liga 1 Indonesia bagi saingan musim depan.
Laporan akhbar negara itu menyatakan jurulatih kelahiran Argentina
tersebut menandatangani kontrak selama 2 musim bersama kelab Persib
Bandung.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Alistair Edwards di Facebook JDT berkata dakwaan Gomez tidak benar.
“Faktanya, sebahagian kontrak Gomez bersama JDT adalah beliau dikehendaki membayar gaji pembantunya, Raul Longhi.
“Gomez pada mulanya membayar jumlah ini secara terus kepada Longhi
dan kemudian beliau meminta setiausaha kelab kami membuat pembayaran
terus kepada Longhi.
“Sejak 2015, JDT membayar komponen gaji ini secara terus kepada
Longhi daripada gaji Gomez mengikut permintaan khususnya selaras dengan
kewajipan dalam kontraknya,” tulis Edwards.
Gomez juga dikatakan membuat kenyataan palsu bahawa JDT tidak menjawab suratnya.
“Kami menerima surat itu dalam bahasa Sepanyol dan telah menjawab
dengan sewajarnya. Jangan cuba untuk menipu kerana ini akan menjejaskan
karier anda di Indonesia,” tulisnya lagi.
No comments:
Post a Comment