KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan tindakan
sekumpulan penyokong Umno di sebuah kampung di Johor Bahru menghalau
ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang sebagai biadap dan tidak hormat.
Presiden PPBM dan ahli Parlimen tunggal parti itu di Johor berkata
orang ramai boleh berbeza fahaman politik tetapi seseorang tidak boleh
dihalang selagi tidak melanggar undang-undang.
“Itu perkara adat, adat resam, hormatlah,” katanya kepada pemberita
selepas mengadakan lawatan ramah mesra di Pasar Dato Keramat hari ini.
Pada Sabtu, lebih 50 penduduk Kampung Bakar Batu di Johor Bahru
menghalau Kit Siang yang pertama kali mengunjungi kawasan itu, untuk
menghadiri program “Sembang Santai Warung” yang dianjurkan Adun Stulang,
Andrew Chen Kah.
Ia terpaksa dibatalkan selepas kekecohan dan pemilik warung enggan meminjam premisnya kepada penganjur disebabkan “tekanan”.
Keadaan bertukar tegang apabila seorang guru agama tampil bersama
penduduk kampung untuk menghalang Kit Siang wakil pemimpin Pakatan
Harapan lain diherdik dengan laungan “Saya penduduk kampung di sini,
jangan kritik Umno”.
Muhyiddin berkata PPBM merasa kecewa dengan tindakan yang menurutnya dilakukan “samseng Umno dan Barisan Nasional”.
Beliau berkata program itu adalah perkara biasa dilakukan sempena menyambut Tahun Baharu Cina.
“Kita agihkan bentuk bantuan seperti limau manis dan sebagainya. Itu perkara simbolik.
“Sepatutnya tak ada tindakan sebegitu. Kalau BN nak buat, buatlah.
“Ini negara bebas, ini negara Malaysia dan setiap kaum ada hak mereka melakukan perkara yang sepatutnya,” katanya.
Muhyiddin berkata beliau tidak mahu melihat insiden seperti yang berlaku pada Kit Siang berulang.
“Kita mahu negara kita ini aman.
“Mengapa kita nak bertindak, bukan sahaja tidak menghormati
tatasusila. Sepatutnya dalam sistem negara yang sudah baik kita
menghormati antara satu sama lain,” katanya
No comments:
Post a Comment