PETALING JAYA: PPBM dan Amanah berdepan tekanan untuk menawan kerusi majoriti Melayu di Melaka untuk Pakatan Harapan (PH).
Prestasi Pakatan Rakyat, yang tidak wujud lagi, tidak baik di Melaka
negeri itu pada pilihan raya umum lepas, tetapi PH percaya mampu
melakukan lebih baik pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana mereka
kini boleh bergantung kepada parti serpihan Umno dan PAS itu untuk
menang di kubu kuat Barisan Nasional, yang kebanyakannya kawasan
majoriti Melayu.
Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar
Mohd Akin, baru-baru ini memberitahu FMT, PH sedar PPBM dan Amanah yang
masih baharu mungkin berdepan tentangan, tetapi ia dapat diatasi dengan
bantuan jentera pilihan raya PKR dan DAP.
Beliau mendakwa PPBM dan Amanah setakat ini diterima baik pengundi di kawasan yang dimenangi BN pada 2013.
Katanya, kedua-dua parti itu akan memfokuskan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai lebih 70% pengundi Melayu.
“PKR dan DAP akan bantu mereka dengan program dan jentera pilihan raya.”
Katanya, PH beroperasi dengan peraturan asas iaitu PKR dan DAP akan
mempertahankan kerusi dimenangi mereka pada 2013 melainkan terdapat
persetujuan menukar kerusi.
Pada 2013, BN menawan Melaka dengan majoriti 2/3, memenangi 21 kerusi
DUN, kurang 2 daripada jumlah kerusi dimenangi pada 2008. DAP memenangi
6 kerusi DUN dan PAS yang dahulunya sebahagian gabungan pembangkang,
hanya memenangi 1 kerusi DUN.
Bagaimanapun, DAP kehilangan 3 kerusi DUN tahun lepas, apabila Adun
Duyong, Bachang dan Kesidang keluar parti dan memilih menjadi calon
bebas, diikuti Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him.
Sim berkata, beliau dan 3 adun lain kecewa dengan pemimpin DAP dan mendakwa mereka menyimpang daripada objektif asal parti.
Shamsul mendakwa tindakan 4 wakil rakyat itu meninggalkan DAP tidak akan menjejaskan sokongan pengundi kepada PH.
Katanya, PH sudah menjalankan tinjauan melibatkan 5,000 pengundi dan
mendapati ada sokongan cukup besar untuk pembangkang di Melaka.
“Respons yang kami dapat menjangkaui jangkaan kami. Secara umumnya, saya melihat ada harapan baharu di Melaka.”
Pada 2013, Shamsul memenangi Bukit Katil dengan majoriti 5,733 undi,
mengalahkan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam dalam
pertarungan dramatik.
Bagaimanapun, Pakatan Rakyat kalah di Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Jasin dengan perbezaan besar.
Shamsul berkata, PKR tidak akan bertanding di Jasin kali ini dan menyerahkannya kepada Amanah.
“Keputusan sudah dibuat, dan kini kita perlu meyakinkan semua ahli di
lapangan untuk bekerjasama dengan Amanah untuk memenangi kerusi itu
bagi PH,” katanya.
No comments:
Post a Comment