KUALA
LUMPUR: PPBM memberi tempoh 48 jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) untuk mendedahkan individu yang didakwa ditahan kerana
cuba menyogok pemimpin serta ahli PPBM meninggalkan parti itu.
Peguam PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sejak tangkapan
itu didedahkan 5 Februari lalu, SPRM belum membuat kenyataan berhubung
perkara berkenaan.
“Setakat hari ini, pihak SPRM belum memberi pengesahan kepada orang
ramai terdapat satu tangkapan pada 5 Februari. Perkara ini belum
disahkan dan ia tidak sihat dari sudut melawan gejala rasuah.
“Kami memberi tempoh 48 jam dari sekarang sebelum berakhir Selasa
untuk SPRM mengesahkan tangkapan, siasatan dan tindakan lanjut terhadap
suspek.”
Beliau berkata demikian kepada FMT selepas hadir bersama Setiausaha
Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh di pejabat SPRM Wilayah
Persekutuan untuk memberi keterangan hampir sejam bagi membantu siasatan
kes itu.
Beliau mendakwa sehingga kini, 3 pemimpin dan ahli PPBM disogok individu terbabit.
“Kami tahu siapa suspek, jumlah yang ditawarkan suspek kepada ahli
PPBM, tapi kalau kami dedahkan nanti, kami ditohmah pula kononnya
mengganggu siasatan, sedangkan siasatan sudah seminggu.
“Sekiranya tiada maklumat didedahkan sebelum Selasa, kami akan
dedahkan perkara ini sebab maklumat ini adalah dalam pengetahuan kami
dulu…kami akan ambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap
SPRM.”
Haniff berkata, SPRM perlu memberi jawapan segera bagi mengetahui
jika ada pihak luar yang cuba menjejaskan kestabilan dan nama baik PPBM.
“Saya juga sarankan pihak atasan SPRM mengambil serius dalam memberi
jawapan segera, sama ada tindakan akan diambil kepada suspek atau tidak.
“Siasatan berhubung tangkapan amat penting kerana menjurus ada atau
tidak anasir jahat dari luar yang cuba mengganggu gugat kestabilan PPBM,
mahupun nama baik pucuk pimpinan.”
Pada 5 Februari lalu, Ketua Wanita PPBM, Rina Mohd Harun mendakwa ada
pihak menawarkan imbuhan kepada seorang ahlinya untuk mengadakan sidang
media memburukkan parti itu.
Katanya, ahli itu bagaimanapun menolak tawaran berkenaan dan menyerahkan bukti kepada pihaknya.
Beliau mendakwa pihaknya kemudian membuat laporan bersama bukti
kepada SPRM dan dimaklumkan suruhanjaya itu sudah menahan suspek
terbabit.
Keesokannya, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memaklumkan individu yang ditahan itu ialah seorang bekas pemimpin PPBM.
“Untuk maklumat, SPRM telah menahan seorang bekas pemimpin PPBM
kerana didakwa memberi rasuah kepada pemimpin PPBM peringkat negeri,
untuk maklumat lanjut saya rasa elok tanya SPRM,” katanya pada 6
Februari lalu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki
ketika dihubungi FMT pada hari sama berkata, beliau akan menyemak jika
ada kes sedemikian.
No comments:
Post a Comment