Thursday, February 22, 2018

PPBM pula heret JPPM ke mahkamah, didakwa langgar akta

 | February 22, 2018
PPBM meminta mahkamah membuat 4 pengisytiharaan dan 1 perintah halangan terhadap JPPM bagi memastikan badan itu bertindak selaras undang-undang.
PPBM_ros_new
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla (tiga dari kanan) bersama Setiausaha Agung PPBM Shaharuddin Salleh (tiga dari kini) selepas memfailkan saman pemula.

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini memfailkan saman pemula terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kerana didakwa melakukan beberapa kesalahan bawah Akta Pertubuhan (Akta 335).

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengemukakan 5 sebab utama tindakan undang-undang diambil terhadap badan kerajaan itu yang dikatakan “berniat jahat” terhadap PPBM.

Haniff di lobi Mahkamah Tinggi memberitahu pemeberita berkata saman ini meminta mahkamah membuat 4 pengisytiharaan dan 1 perintah halangan terhadap JPPM, bertujuan untuk memastikan badan itu bertindak selaras undang-undang.

“Yang pertama, PPBM memohon 1 perintah deklarasi bahawa JPPM bertanggungjawab menjalankan kuasa seperti yang diberi dan diselia bawah Akta Pertubuhan.

“Yang kedua, sekiranya ada apa-apa aduan atau siasatan yang perlu dilakukan terhadap PPBM, maka JPPM bertanggungjawab mengikut prosedur yang telah sedia ada di bawah Akta Pertubuhan.”

Haniff berkata pengisytiharaan ke-3 ialah apa yang dilakukan oleh JPPM yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan awam berbaur niat jahat atau “mala fide” adalah salah di bawah Akta Pertubuhan.
“Yang keempat, mana-mana aduan yang dilakukan oleh mana-mana pihak terhadap PPBM hendaklah disiasat di bawah peruntukan perundangan yang sama.

“Perintah halangan yang dipohon akhir sekali adalah sehingga mahkamah membuat keputusan, maka JPPM tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan awam yang memberi ketidakjelasan atau menimbulkan salah faham orang awam berkaitan kedudukan PPBM,” katanya.

Haniff merujuk kepada beberapa peristiwa yang membelenggu PPBM selepas penubuhannya pada September 2016. Ia diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa veteran Umno untuk melawan presiden Umno sedia ada, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut JPPM, kegagalan PPBM mematuhi perlembagaan parti dan Akta 335 merisikokan pendaftaran mereka dan melewatkan pendaftaran gabungan parti-parti pembangkang baharu, Pakatan Harapan.

Antara aduan terhadap PPBM yang pernah dilaporkan oleh media ialah kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), kegagalan mengadakan mesyuarat bahagian dan cawangan parti, menghantar perwakilan tidak dipilih oleh bahagian parti ke AGM dan perwakilan bahagian parti tidak dipilih oleh cawangan parti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi baru-baru ini berkata sebanyak 47 daripada 249 aduan yang diterima JPPM mengenai PPBM berkaitan pelanggaran perlembagaan parti.

PPBM telah mengadakan AGM pertama mereka Disember lepas. PPBM juga menggesa JPPM segera meluluskan penubuhan 21 bahagian parti agar jawatankuasa bahagian boleh digerakkan dan cawangan boleh ditubuhkan.
Haniff berkata PPBM telah menghubungi JPPM bagi mendapatkan penjelasan tetapi tidak ada maklum balas positif mengenai perkara berbangkit.

“Memandangkan PPBM telah berdaftar sebagai satu pertubuhan rasmi sejak 8 September 2016, PPBM percaya setiap langkah dan tadbir urus PPBM telah dilaksanakan menurut keperluan perlembagaan PPBM yang diluluskan oleh JPPM sendiri dan juga peruntukan undang-undang Akta Pertubuhan.

“Tidak ada cacat cela dalam pentadbiran PPBM berkaitan perkara itu,” katanya.
Semalam, Pakatan Harapan turut memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi terhadap JPPM bagi mendesak badan itu menjawab pernyataan tentang status permohonan pendaftaran gabungan parti pembangkang itu.

Mengulas lanjut, Haniff berkata PPBM membawa perkara itu agar mahkamah meneliti dan memberi keputusan adil sama ada JPPM telah melanggar kewajipan di bawah undang-undang

1 comment: