(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Selepas disabitkan dengan kesalahan memiliki dan
mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dua
tahun lalu, Ahli Parlimen Pandan sekali lagi disabitkan dengan kesalahan
tuduhan mendedahkan penyata akaun bank National Feedlot Corporation Sdn
Bhd (NFC) dan dua yang lain kepada media.
Justeru, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Zambri Bakar memerintahkan
Naib Presiden PKR itu menjalani hukuman penjara 30 bulan bermula tarikh
sabitan.
Bekas kerani bank, Johari Mohamad turut diperintah menjalani hukuman sama selepas disabitkan kesalahan bersubahat.
Zambri dalam keputusannya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya membuktikan kes.
"Oleh itu, tertuduh disabitkan dengan pertuduhan," katanya.
Mohd Rafizi, 40, didapati bersalah mendedahkan dokumen penyata baki
akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat.
Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum
mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara
maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Johari, 46, juga didapati bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.
No comments:
Post a Comment