PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengkritik Datuk Seri
Najib Razak dengan berkata, tidak wajar perdana menteri turut memegang
jawatan menteri kewangan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun mempertahankan
dirinya yang juga pernah menjadi menteri kewangan dengan berkata, ia
hanya untuk seketika sementara mencari pengganti baru.
“Saya berpendapat perdana menteri memang tidak perlu pegang
kementerian kewangan, tetapi ada kalanya saya pegang jawatan menteri
kewangan sebabnya mencari calon yang terbaik.
“Apabila seorang menteri digugurkan dan tidak boleh berkhidmat, maka
kita ambil masa sedikit untuk mencari calon yang baik dan baru. Dalam
jangka masa itulah saya ambil tugas menteri kewangan,” katanya menerusi
“policy talk – governans & ekonomi” yang disiarkan secara langsung
di Facebook hari ini.
Dr Mahathir memegang jawatan itu mulai 7 September 1998 hingga 7 Januari 1999, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Najib pula memegang portfolio menteri kewangan sejak September 2008 sehingga kini.
Dr Mahathir berkata, ketika menjadi menteri kewangan, beliau terbabit secara langsung dalam penyediaan bajet tahunan.
“Dalam jangka masa itu, saya ambil alih tugas menteri kewangan
termasuk sediakan bajet untuk 1 tahun. Sedikit sebanyak ia jadi
pengalaman untuk saya.
“Tetapi lebih baik perdana menteri tidak pegang jawatan menteri
kewangan,” katanya yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan itu berkata, sewaktu mentadbir
negara, beliau dan timbalannya bergilir-gilir memegang jawatan dalam
Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.
“Kadang-kadang perdana menteri jadi menteri pertahanan dan timbalan
perdana menteri jadi menteri hal ehwal dalam negeri kerana 2 kementerian
ini agak penting untuk tentukan keselamatan dan kestabilan negara
kita,” katanya
No comments:
Post a Comment