PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menolak
tanggapan seseorang perlukan ijazah untuk kehidupan yang lebih baik atau
mencari pekerjaan.
Kenyataan itu menyusuli laporan tentang Abdul Raman Jaafar, 44,
seorang pemilik 10 perniagaan tekstil dan aksesori walaupun beliau hanya
lepasan Darjah 6.
Bercakap kepada FMT, Pengarah Eksekutif Datuk Shamsuddin Bardan
berkata terdapat banyak kes majikan berjaya yang tidak melanjutkan
pendidikan tinggi.
Atas sebab itu, Shamsuddin menyimpulkan sijil kelayakan bukan pertama
paling penting untuk berjaya dalam hidup atau mengambil pekerja
berpotensi.
“Memiliki sijil kelayakan bukan satu kemestian kecuali untuk
jawatan-jawatan profesional seperti perakaunan, undang-undang, perubatan
dan sebagainya.
“Namun kebiasaannya, kalau bukan kerjaya berlesen, pengalaman masih
isu paling kritikal bagi majikan apabila mengambil pekerja,” katanya.
Beliau berkata majikan di sektor swasta hari ini lebih cenderung
memilih calon yang cerdik berbanding mereka yang boleh menunjukkan
mereka sudah melanjutkan pelajaran.
“Kalau kamu cerdik, kamu ada peluang termasuk melanjutkan kerjaya ke luar negara.
“Sebaliknya, mereka yang kurang cerdik mungkin tidak mampu pergi jauh kecuali di syarikat tempat mereka berkhidmat.”
Shamsuddin tidak bersetuju apabila ditanya tentang paradoks seseorang perlu bekerja terlebih dahulu untuk menimba pengalaman.
“Ada banyak projek kerja bebas yang anda boleh cuba. Orang ramai
perlu belajar bagaimana untuk berfikir di luar kotak jika mahu menimba
pengalaman,” katanya.
No comments:
Post a Comment