Menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri
memerlukan laporan penilai bebas dilantik Putrajaya itu, sebelum boleh
menawarkan nilai pengambilalihan Splash.

Gambar Facebook.
KAJANG: Kerajaan Selangor belum menerima laporan daripada penilai
bebas yang dilantik Putrajaya berhubung proses pengambilalihan Syarikat
Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), kata Datuk Seri Azmin
Ali.
Menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri tidak menerima
sebarang maklumat baharu sehingga kini, selepas membawa isu
pengambilalihan Splash ke Dewan Rakyat pada sidang lalu.
Azmin berkata, kerajaan negeri memerlukan laporan penilai bebas itu, sebelum boleh menawarkan nilai pengambilalihan Splash.
“Jangan salah-menyalah mana-mana pihak. Kita nak selesaikan masalah
ini secepat mungkin, tapi kerajaan persekutuan dan negeri perlu
bekerjasama.
“Kita dah serah laporan kita, tapi mereka (kerajaan pusat) belum serah laporan mereka kepada kita.
“Selepas laporan diserahkan kepada kerajaan negeri, maka kita boleh
duduk berbincang apakah nilai terbaik kita boleh tawarkan kepada
Splash,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Aras Jambatan dan
Penstabilan Tebing Sungai Jelok, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan Selangor di bawah pimpinannya kini tidak
bersetuju dengan RM3 bilion yang dipersetujui pada zaman pentadbiran Tan
Sri Khalid Ibrahim untuk pengambilalihan Splash.
“Saya tegaskan tawaran asal dibuat Tan Sri Khalid kepada Splash RM3
bilion itu kita tak setuju sebab tak ada asas untuk justifikasi mengapa
Khalid buat tawaran RM3 bilion.
“Bila saya ambil alih, saya lihat mesti ada asas sebelum kita buat
tawaran, maka untuk berlaku adil kepada rakyat, kita buat ‘independent
value’ bagi menilai berapa nilai untuk ditawarkan (kepada) Splash,”
katanya.
Azmin mengulas kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,
Datuk Seri Maximus Ongkili hari ini yang berkata Putrajaya sedia
membantu kerajaan Selangor mengambil alih Splash, jika Azmin
mengemukakan harga belian.
Maximus berkata, kerajaan pusat akan mengkaji pilihan dari segi
perundingan, termasuk meneliti Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta
655) untuk menyelesaikan penyusunan air di Selangor, atas faktor
keselamatan negara.
Isu pengambilalihan Splash gagal diselesaikan sejak 2014 dan Ketua
Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr
Zaini Ujang semalam memberi masa 4 bulan sehingga Julai depan kepada
kerajaan Selangor untuk bersetuju melaksanakan proses migrasi bagi
mengelakkan krisis air di negeri itu bertambah buruk.
Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) menerima tawaran kerajaan
Selangor mengambil alih semua ekuiti, aset dan liabiliti 2 syarikat
konsesi air miliknya – Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air
Selangor Sdn Bhd (Syabas), masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan
RM3.11 bilion pada Mei 2014.
Ia menyusul pemegang saham Konsortium Abass Sdn Bhd yang bersetuju
dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga
RM900 juta.
No comments:
Post a Comment