Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad telah
membidas Pendaftar Pertubuhan (ROS) atas kecekapannya yang cepat sekali
membantu Umno mengatasi krisis parti, berbanding kelewatan dalam
mendaftarkan blok pembangkang.
Ini, dakwanya, dalam satu kenyataan video di laman Facebooknya hari ini, menunjukkan betapa ROS berat sebelah.
"Dalam kes Pakatan Harapan, kami telah cuba buat permohonan (untuk
mendaftarkan gabungan itu) lapan bulan yang lalu, tetapi sampai sekarang
jangan kata nak jawab, tak acknowledge pun.
"(Mereka) tak kata ditimbang atau tak ditimbang (permohonan itu),"
kata Mahathir, sambil menambah permohonan sedemikian tidak sepatutnya
mengambil masa lapan hingga sembilan bulan.
"Dalam kes Umno, wow, begitu cepat sekali," katanya.
Pada hari Isnin, ROS mengesahkan memberi kelulusan kepada Umno
untuk menangguhkan pemilihan majlis tertinggi hingga 2019, walaupun
bekas timbalan presiden,Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa
perlanjutan seperti itu bertentangan dengan perlembagaan Umno.
Bekas perdana menteri itu menambah keseluruhan proses yang
menyelubungi kelulusan perlanjutan pemilihan Umno itu menimbulkan
persoalan.
Mahathir menegaskan nampaknya tidak ada sebarang prosedur rasmi oleh Umno berhubung perlanjutan pemilihan parti itu.
Bekas presiden Umno itu berkata sebarang langkah oleh parti itu untuk
melanjutkan pemilihan kepimpinannya perlu melalui prosedur yang betul,
"tetapi, kita tak dengar ada keputusan ini dibuat".
"Keputusan mesti dibuat oleh Umno sendiri dalam satu mesyuarat kerana ini adalah perkara besar.
"Biasanya dalam mesyuarat agung atau dalam mesyuarat agung luar biasa, keputusan dibuat.
"Tetapi, kita tak dengar ada keputusan ini dibuat dalam mana-mana mesyuarat Umno," katanya.
Mahathir bertanya apakah dokumen yang menunjuk bahawa satu mesyuarat diadakan dan surat dihantar kepada ROS untuk diluluskan?
"Kita tak dengar. Sekarang ini baru kita dengar. ROS sekarang ini
baru beri penjelasan bahawa ROS telah lulus. Ini satu perkara yg
menunjuk betapa ROS berat sebelah," tambahnya
Muhyiddin sebelum ini menegaskan bahawa lanjutan pertama pemilihan
majlis tertinggi Umno hingga 19 April tahun ini adalah muktamad, kerana
perlembagaan parti itu hanya membenarkan lanjutan selama 18 bulan, yang
dibuat pada 2016 kononnya untuk membolehkan pilihan raya umum awal yang
tidak pernah berlaku.
Di samping itu, bekas pemimpin Umno, Datuk Saifuddin Abdullah juga
menyatakan bahawa lanjutan pertama bermakna semua cawangan Umno telah
menamatkan pemilihan masaing-masing pada 28 Feb tahun ini, dan jika
gagal berbuat demikian, mereka secara automatik dibatalkan
pendaftarannya.
Pengkritik telah menegaskan bahawa penangguhan itu bertentangan
dengan perlembagaan Umno sendiri, yang ROS tidak mempunyai kuasa untuk
mengatasinya sebagai sebuah badan pengawalseliaan semata-mata.
Sementara itu, berbeza dengan kes Umno, ROS semalam menuntut
parti BERSATU menyerahkan minit mesyuarat dan dokumen kewangannya dan
semua cawangan dan bahagiannya dalam tempoh 30 hari, atau berdepan
dengan tindakan pembatalan pendaftarannya.
No comments:
Post a Comment