Sunday, March 4, 2018

'Dedak sistematik' menyamar ahli Bersatu

'Dedak sistematik' menyamar ahli Bersatu
Norul Haszarul (duduk, tengah) bersama ahli dan ketua-ketua Pemuda Bersatu bahagian di Johor ketika ditemui di Pejabat Bersatu Negeri Johor.
(Ubah saiz teks) 
 
JOHOR BAHRU - Pemuda Bersatu Johor mengesahkan seorang dari 12 pemuda yang meluahkan kekecewaan mereka berhubung isu dalaman parti itu dalam sidang media semalam, bukan ahli parti berkenaan.
Ketua Pemudanya, Norul Haszarul Abu Samah berkata, semakan mendapati nama Johari Sulaiman yang menjadi jurucakap pada sidang media berkenaan tidak terdapat dalam sistem pengumpulan data ahli parti Bersatu.

Menurutnya, pihaknya juga sedang mengenal pasti bagi membuat semakan daftar keahlian 11 lagi individu yang mendakwa sebagai ahli Pemuda Bersatu dari Bahagian Pasir Gudang, Johor Bahru dan Pagoh berikutan kesemua mereka tidak pernah kelihatan dalam sebarang aktiviti berkaitan parti.

“Kita yakin mereka mempunyai kaitan dengan sidang media yang pernah dibuat berhubung isu sama di negeri-negeri lain sebelum ini dan inilah taktik ‘dedak sistematik’ seperti yang didedahkan Syed Saddiq (Ketua Pemuda Bersatu Malaysia).

“Kita buat semakan dan setakat ini individu yang hadir pada sidang media itu tidak pernah dilihat dalam apa-apa aktiviti parti dan kami juga tidak pernah dimaklumkan tentang isu tidak puas hati seperti yang dibangkitkan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Norul Haszarul menegaskan, pihaknya membuat laporan berhubung perkara itu kepada Bersatu di peringkat pusat dan menunggu arahan untuk mengambil tindakan seterusnya.
Katanya, isu yang disuarakan pada sidang media berkenaan mengenai kekayaan keluarga Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah selesai dan tidak pernah dibangkitkan di peringkat parti itu.

“Kita dah jawab beberapa kali mengenai isu ini malah Tun Mahathir sendiri dan Mukhriz telah menjelaskan dan menafikan tentang perkara yang dibangkitkan.
“Di peringkat kita sebenarnya perkara ini sudah jelas. Ini adalah taktik parti lawan untuk memecahbelahkan parti. Saya yakin mereka yang hadir dalam sidang media itu juga sebenarnya tidak jelas dan tidak faham tentang perkara yang mereka bangkitkan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau yakin parti lawan akan menggunakan helah sama untuk menjatuhkan Bersatu dan Pakatan Harapan sekali gus menggoyahkan keyakinan rakyat kepada mereka.

Semalam, 12 individu yang mendakwa ahli Pemuda Bersatu dari Bahagian Pagoh, Pasir Gudang dan Johor Bahru meluahkan rasa kekecewaan mereka berhubung isu dalaman parti itu dan mendesak Tun Mahathir Mohamad menjawab isu kekayaan luar biasa yang dikaitkan dengan ahli keluarga pemimpin itu.
Sinar harian 

No comments:

Post a Comment