SHAH
ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan
usul tergempar bagi membahaskan laporan kajian semula persempadanan
kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Usul yang dibawakan Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing) akan
dibahaskan petang ini, bagi mendesak SPR menarik balik laporan
persempadanan semula itu.
“Dewan yang mulia ini kecewa dengan tindakan SPR yang tidak bertindak
adil dalam kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Dewan yang mulia ini menggesa SPR menarik balik cadangan
persempadanan semula dan mengemukakan satu cadangan persempadanan semula
baru yang adil, yang mencadangkan kawasan pilihan raya seimbang dari
segi bilangan pengundi, selaras prinsip satu orang satu undi.
“Perkara ini merujuk tindakan SPR yang tidak melaksanakan pendengaran
awam oleh kumpulan lebih 100 pembantah cadangan persempadanan semula.
Usul ini berkepentingan untuk orang ramai sebab persempadanan semula
akan memberi impak kepada proses pilihan raya akan datang,” kata Rajiv
ketika membacakan usul itu.
Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh menerima usul itu dan memaklumkan ia akan dibahaskan 2.30 petang ini.
“Saya telah menerima dan mempertimbangkan usul tergempar menangguhkan
mesyuarat di bawah Peraturan 17. Saya berpuas hati usul tersebut
menepati 3 syarat yang diperuntukkan dalam Peraturan 17, iaitu ia
perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang perlu
disegerakan.”
Terdahulu, kira-kira 200 orang berkumpul di Tugu Negara bersama
Bersih 2.0 membantah pembentangan laporan persempadanan semula SPR,
sebelum berarak bersama ahli Parlimen pembangkang ke luar bangunan
Parlimen.
Tetapi, mereka disekat polis kira-kira 200m di luar bangunan Parlimen.
Polis hanya membenarkan wakil Bersih 2.0 menyerahkan satu memorandum
kepada seorang pegawai Parlimen yang menggesa Pandikar menarik balik
usul pembentangan laporan persempadanan semula.
No comments:
Post a Comment