PH mahu menghapuskan GST, menyamaratakan gaji minimum dan menstabilkan harga minyak dalam 100 hari pertama pentadbirannya.

Gambar Facebook
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) malam tadi melancarkan manifesto
pilihan raya umum ke-14 yang menjanjikan 10 perkara, terutama
meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran
kerajaan PH.
Ia terangkum dalam 5 teras utama Buku Harapan yang dilancarkan calon
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvesyen Ideal, Shah
Alam di hadapan pimpinan PPBM, DAP, PKR dan Amanah dan lebih 1,000 yang
hadir.
“Matlamat PH ialah berganding bahu memacu reformasi berterusan untuk
membentuk masa depan lebih baik untuk semua – maju, makmur dan bahagia –
menerusi asas-asas seperti nilai bersama, budaya ilmu, kebebasan,
kebenaran, keadilan sosial dan ekonomi, maruah, ketamadunan, keamanan,
perpaduan, kemakmuran, demokrasi dan meritokrasi,” kata buku itu.
Dalam 100 hari itu juga Pakatan Harapan mahu mewujudkan suruhanjaya
dan jawatankuasa untuk menyiasat dan menangani isu-isu yang menimbulkan
kontroversi, termasuk 1MDB dan Perjanjian Malaysia 1963.
- Menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.
- Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.
- Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.
Pakatan Harapan juga akan melaksanakan 4 perkara lain menyasarkan
hutang yang ditanggung peneroka dan lepasan universiti dan perlindungan
untuk suri rumah dan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40):
- Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.
- Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah.
- Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
- Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.
Dalam 100 hari itu juga, Pakatan Harapan akan mewujudkan suruhanjaya
dan jawatankuasa untuk mengkaji dan menangani isu-isu kontroversi:
- Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.
- Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.
- Melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.
Menerusi buku bertajuk “membina negara memenuhi harapan” ini,
gabungan pembangkang itu turut menggariskan 60 janji untuk dilaksanakan
dalam tempoh 5 tahun dan 5 iltizam.
Dr Mahathir dalam ucapannya berkata Pakatan Harapan tidak akan mampu
melaksanakan janji-janji ini jika gabungan itu gagal menumbangkan
Barisan Nasional pada PRU14.
“Kalau kita kalah, janji-janji ini tidak dapat dilaksanakan. Walaupun
kita yakin menang tapi hari ini kita belum menang dan kita perlu
berusaha mencapai kemenangan. Ketepikan perkara lain, ketepikan
kepentingan peribadi, kita akan menang.”
Turut hadir di majlis malam tadi, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin
Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail, Setiausaha
Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
No comments:
Post a Comment