Thursday, March 22, 2018

Mark Zuckerberg digesa beri penjelasan

Mark Zuckerberg digesa beri penjelasan
Mark Zuckerberg
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Ketua eksekutif, Facebook Inc (Facebook), Mark Zuckerberg digesa memberi penjelasan kepada Kongres Amerika Syarikat, berhubung penyalahgunaan data peribadi pengguna.
Gesaan dibuat oleh Senator Dianne Feinstein yang juga anggota Jawatankuasa Kehakiman dari Parti Demokrat.

"Seramai 50 juta orang hilang maklumat peribadi, kerahsiaan.
"Saya fikir, kita perlu meminta ketua Facebook, bukan peguam mereka, bukan orang kedua dalam syarikat itu, tetapi orang pertama dalam syarikat itu, untuk bertemu dengan kita.

"Ia hanya, jika mereka benar-benar bersedia untuk menjadi pemimpin dalam industri ini dan mengawal perkara seperti ini daripada berlaku," kata Feinstein kepada wartawan di Dewan Senat Amerika Syarikat.

Beliau berkata demikian ketika anggota Kongres mendesak syarikat gergasi media sosial itu bertanggungjawab, terhadap isu kebocoran maklumat peribadi penggunanya, oleh syarikat perunding politik yang dilantik pasukan kempen Presiden Donald Trump.

Sementara itu, saham Facebook mencatat kejatuhan sebanyak 3.5 peratus semalam, atau 17 peratus di bawah paras tertinggi yang direkodkan bulan lalu, ketika pelabur bimbang mengenai risiko yang bakal dihadapi Facebook, susulan pendedahan firma perunding memperoleh data 50 juta pengguna rangkaian media sosial itu, secara tidak sah.- Reuters

No comments:

Post a Comment