Thursday, March 8, 2018

Mayat bayi dalam mulut biawak

Mayat bayi dalam mulut biawak
Charan Singh menunjukkan lokasi penemuan mayat bayi.
(Ubah saiz teks)
IPOH - “Saya sangka biawak tu bawa anjing dalam mulut, tapi bila nampak kaki serupa kaki manusia, saya terus sergah dan halau haiwan itu jauh-jauh,” kata seorang pengembala lembu, Charan Singh, 68, ketika menceritakan penemuan mayat seorang bayi, semalam.

Charan Singh berkata, kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu disedari, ketika dia mahu membuang air besar di kawasan sungai berhampiran kandang lembunya yang terletak bersebelahan Politeknik Ungku Omar (PUO).

Menurutnya, mayat bayi yang tidak sempurna itu berkemungkinan dibawa naik ke darat oleh haiwan terbabit dari kawasan sungai.
“Sekitar sungai ni memang banyak biawak, kebetulan sudah dua hari tak ada hujan, air jadi cetek.

Saya panggil isteri untuk sahkan yang saya lihat itu adalah bayi, bila betul saya terus maklumkan kepada polis,” katanya.
Sungai yang menjadi lokasi buang bayi hingga ditemui Charan Singh.
Dia berkata, ketika ditemui, bayi berkenaan hilang sebelah tangan sementara bahagian perut dan anggota badan lain telah terburai.
“Sepanjang hari tangan saya menggigil, marah, sedih dan terkilan semua ada, sampai hati mereka buang bayi di tempat begini, kalau tak suka, letaklah tempat yang selamat,” katanya.

Katanya, berdasarkan keadaan fizikal, berkemungkinan bayi itu baru dilahirkan dua hari, sebelum ditemui.
“Saya syak bayi itu dibuang dalam sungai dan dihanyutkan arus hingga tepi kandang lembu ini, nasib tak baik kerana biawak jumpa dia dulu, bukan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, jantina bayi malang itu belum dapat dikenalpasti kerana sebahagian anggota badan dan organ telah tiada, disyaki dimakan haiwan.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan turut menemui kesan koyakan dan carik pada paha bayi itu.

“Beberapa spesimen antaranya tulang rusuk dan tulang tumit diambil daripada mayat bayi itu untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang bayi secara sulit,” katanya.

No comments:

Post a Comment