Wednesday, March 7, 2018

MP sedia kumpul dana bantu Wan Ahmad buat tuntutan di Australia

 
   
Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching hari ini menawarkan untuk memulakan dana awam (crowdfund) bagi membantu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd menuntut kembali wangnya yang kini dibeku di Australia.

Ia ekoran kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam yang berkata Wan Ahmad tidak menuntut wangnya kerana ia memerlukan belanja yang besar.

"Jika memang benar kos yang menjadi masalah, saya sanggup melakukan pungutan dana awam untuknya bagi membantu perjalanannya ke Australia dan berhubung dengan peguam yang disebut (wartawan veteran) R Nadeswaran.
"Tetapi dengan syarat beliau mengisytiharkan asetnya secara terbuka bagi menunjukkan beliau memang tidak mampu mengambil tindakan undang-undang dan mengemukakan dokumen berkaitan yang membuktikan sumber wangnya (sah)," kata Teo dalam kenyataan.

Beliau merujuk wartawan penyiasatan terkenal itu yang berkata rakannya yang merupakan peguam di Melbourne bersedia membantu Wan Ahmad (gambar) mendapatkan semula wangnya.

Nadeswaran juga berkata kos sepatutnya tidak menjadi persoalan kerana sistem undang-undang Australia membenarkan kaedah "no win, no fees".

Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang juga seorang peguam juga menyatakan perkara sama - Wan Ahmad boleh menghubungi peguam yang mahu memberikan khidmat secara percuma dan hanya akan mengambil sebahagian daripada wang yang dibekukan jika berjaya mendapatkannya semula.

Teo berkata Wan Ahmad perlu mengutamakan usaha untuk membersihkan reputasinya.
"Benar beliau masih perlu mengeluarkan belanja untuk perjalanan dan tempat tinggal di sana. Tetapi bukankah reputasinya lebih berharga daripada itu?
"Dan jika wang yang dibeku itu memang untuk menanggung pelajaran anak-anaknya, bagaimana mereka akan dapat terus belajar kerana ia sudah dibekukan?" katanya lagi.

Terdahulu, akaun Wan Ahmad di Australia yang mempunyai nilai lebih A$320,000 (RM971,800) dibeku pihak berkuasa negara itu kerana disyaki mempunyai wang yang dicuci atau hasil daripada kegiatan jenayah.

No comments:

Post a Comment